GAYA HIDUP

Teater Muzikal Uda Dan Dara Angkat Semula Karya Klasik Usman Awang

05/11/2025 01:00 PM

KUALA LUMPUR, 5 Nov (Bernama) -- Uda & Dara, kisah cinta tragis yang terhalang dek perbezaan darjat nukilan agung Sasterawan Negara Allahyarham Datuk Dr Usman Awang, kembali ke pentas teater menerusi Muzikal Uda dan Dara yang akan berlangsung di The Playhouse Theatre, The Campus Ampang di sini, bermula 20 hingga 23 Nov depan.

Pementasan anjuran Istana Budaya dengan kerjasama Pertubuhan Rumpun Seni Mekar Budaya (Mekar Budaya) itu diadakan di bawah program Memartabatkan Bahasa dan Karya Agung Insentif Belanjawan MADANI 2025 dalam usaha memartabatkan seni, budaya, bahasa dan kesusasteraan

Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) Istana Budaya Johan Cruyff @ Mohd Johari Md Nordin berkata pementasan teater itu adalah antara medium memperkasa linguistik dan keindahan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan.

pic-2

“Karya klasik ini diolah semula dalam bentuk muzikal kontemporari dengan mengekalkan bahasa puitis dan mesej sosial asal karya itu. Ia diserikan dengan gabungan muzik serta tarian tradisional Melayu berunsur moden yang menjadikannya segar dan relevan kepada penonton masa kini,” katanya pada sidang media teater itu semalam.

Beliau berkata teater muzikal itu digarap bersama-sama dengan Pengarah Persembahan Istana Budaya Nik Muhammad Faiszulikhwan dan  Pengerusi Mekar Budaya  Dr Marlenny Deenerwan yang juga pensyarah kanan Fakulti Seni Kreatif, Universiti Malaya, dengan Aqil Rozai sebagai penolong pengarah.

Pementasan ini diterajui oleh Johan As’ari  sebagai Uda, Zera Hariz (Dara), Jay Iswazir (Alang Bakhil), Farah Ahmad (Mak Dara), Amerul Affendi (Utih), Azaman Hassan (Pak Long), Sara Sulaiman (Mak Long) dan dibantu barisan Artistana Istana Budaya.

Teater Muzikal Uda dan Dara mengisahkan cinta terhalang antara Uda, seorang  pemuda kampung, dan Dara, gadis bangsawan.

pic-3

Perbezaan darjat serta penindasan oleh tokoh kaya dan tamak Alang Bakhil, membawa kepada perjuangan tragis yang berakhir dengan kematian Uda, meninggalkan Dara menanggung kesedihan dan penyesalan.

Sementara itu, Nik Muhammad Faiszulikhwan berkata cabaran utamanya ialah menafsir naskhah Sasterawan Negara ketiga itu agar lebih dekat di hati penonton masa kini tanpa menjejaskan nilai kesusasteraannya.

“Setiap baris dialog perlu disampaikan dengan perasaan dan makna yang tepat. Contohnya melalui watak Utih, setiap dialognya puitis dan sarat makna, maka penting untuk kami pastikan penonton dapat memahami mesej dan keindahan bahasa yang ingin disampaikan,” katanya.

pic-4

Mengakui cabaran itu, Amerul Affendi yang memegang watak Utih, berkata kesukarannya ialah menjiwai bahasa dan falsafah puitis dalam naskhah berkenaan.

“Sebelum ini saya pernah berlakon dalam naskhah yang sama sebagai Alang Bakhil. Kali ini, watak Utih jauh lebih berat. Saya kena hafal satu persatu, tak boleh tinggal satu perkataan pun, kerana kalau tersilap, maknanya boleh berubah. Dialognya sangat puitis dan berfalsafah,” katanya.

Farah Ahmad pula menyifatkan peluang kembali ke pentas teater selepas dua tahun, sebagai kesempatan untuk mengasah semula disiplin dan tenaga lakonan dalam pementasan besar seperti Teater Muzikal Uda dan Dara.

pic-5

“Berlakon teater tak sama dengan di set penggambaran. Di pentas tak ada istilah ‘cut’. Setiap dialog perlu dihafal dan dihayati dari awal hingga akhir. Tambahan pula saya dikelilingi pelakon muda yang penuh tenaga, jadi saya pun kena sama-sama hidup supaya tenaga itu sampai kepada penonton,” katanya.

Beliau berkata penglibatannya dalam karya Usman Awang sejak 1997 banyak mengajarnya menghargai bahasa puitis yang kini turut menjadi sebahagian daripada caranya bertutur saban hari.

Tiket berharga RM40, RM75, RM100 dan RM150 boleh didapati menerusi CloudJoi, dengan potongan 15 peratus bagi tiket bernilai RM150 untuk warga emas, penjawat awam, pelajar dan Orang Kurang Upaya yang layak.

Maklumat lanjut tersedia di portal dan platform media sosial Istana Budaya, atau dengan menghubungi Unit Perhubungan Awam Istana Budaya melalui e-mel info@istanabudaya.gov.my.

-- BERNAMA

 

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2487337