AM

Usahawan Muda PROTUNe Catat Pendapatan RM2.87 Juta

04/11/2025 08:19 PM

SHAH ALAM, 4 Nov (Bernama) -- Sebanyak 1,221 usahawan muda Program Tunas Niaga (PROTUNe) 2025 daripada 47 sekolah berjaya merekodkan jumlah pendapatan keseluruhan melebihi RM2.87 juta dalam tempoh tujuh bulan sejak Mac lalu.

Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan (Usaha Sama Strategik) Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) Md Kamarzan Md Rais berkata sejak diperkenalkan pada 1998, PROTUNe telah berkembang daripada sekadar program latihan keusahawanan kepada platform penting dalam pembentukan pelajar yang berfikiran kritis, berani mencuba dan kalis masa hadapan. 

“Melangkah ke 27 tahun penganjurannya, seramai 30,521 pelajar telah mendapat manfaat daripada program ini dan dibimbing oleh 2,536 guru pembimbing yang berkaliber dan komited.

“Hasilnya, sebanyak 1,202 syarikat pelajar berjaya ditubuhkan, membuktikan program ini sungguh komprehensif dan menjadi satu ‘signature’ Bahagian Pembangunan Usahawan (BPU) PKNS yang cukup membanggakan,” katanya ketika berucap merasmikan Majlis Konvensyen PROTUNe 2025 di sini hari ini. 

Md Kamarzan berkata sejak 2009 hingga kini, syarikat-syarikat PROTUNe telah mencatat jualan kumulatif mencecah RM34.4 juta, mencerminkan usaha gigih, daya kreativiti dan semangat juang pelajar-pelajar terlibat. 

Beliau menambah, para usahawan muda yang turut menyertai Karnival Usahawan PKNS berpeluang meraih pengalaman berniaga secara langsung, dengan jumlah pendapatan keseluruhan RM721,830.77 dalam tempoh tiga hari.

“Pengalaman ini memberi pelajaran penting kepada pelajar – bukan sekadar berniaga, tetapi juga berani mencuba, mengurus masa, berkomunikasi yakin, memahami kehendak pasaran dan bijak mencari peluang serta mengambil risiko,” katanya.

PROTUNe berlangsung dari 3 Mac hingga 30 Sept lalu, memberikan peserta bimbingan dan latihan keusahawanan secara teori dan praktikal, termasuk pengalaman berniaga di sekolah masing-masing dan di Karnival Usahawan PKNS.

Produk yang dihasilkan merangkumi makanan dan minuman, kraftangan, cenderamata, pakaian serta perkhidmatan seperti fotografi, dobi, katering, penghantaran barangan dan produk kitar semula.

Sebanyak 11 kategori anugerah PROTUNe peringkat negeri Selangor yang dipertandingkan iaitu, Anugerah Sekolah Terbaik, Anugerah Syarikat Terbaik, Anugerah Persembahan Terbaik, Anugerah Guru Pembimbing Terbaik dan Anugerah Perkhidmatan Terbaik. 

Selain itu, Anugerah Produk Kreatif Terbaik, Anugerah Produk Inovasi Terbaik, Anugerah Laporan Kewangan Terbaik, Anugerah Ketua Pegawai Eksekutif Terbaik, Anugerah Harapan dan Anugerah E-PROTUNe. 

Pada majlis hari ini, Johan Anugerah Sekolah Terbaik diberikan kepada Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Rantau Panjang diikuti SMK Munsyi Abdullah sebagai Naib Johan dan Sekolah Menengah Agama Persekutuan Kajang di tempat ketiga. 

-- BERNAMA 

 

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2487169