RENCANA

Anak Muda Martabatkan Bahasa Melayu Menerusi Dunia 'Gaming'

05/11/2025 10:37 AM
Daripada Nurqalby Mohd Reda

Siapa kata bahasa Melayu tidak boleh diangkat menjadi bahasa antarabangsa dan kita harus akur dengan penggunaan bahasa Inggeris untuk menarik rakyat asing?

Dua sahabat membuktikan sebaliknya.

Menerusi syarikat Adik Beradik Kuala Lumpur (ABKL), Muzammil Mudzakir, 36 dan Mohd Hilmi Azli, 39 mencipta sejarah tersendiri sebagai pencipta permainan dalam talian berbahasa Melayu sepenuhnya, yang kini mempunyai lebih 100,000 ahli tempatan dan luar negara, antaranya Brunei, Thailand, Singapura dan Australia.

Baru sahaja dilancarkan secara rasmi pada 14 Okt lalu meskipun sudah berada di dunia maya sejak 2023, permainan dalam talian Adik Beradik Role Play (ABRP) mengetengahkan identiti Malaysia dengan menjadikan kehidupan masyarakat negara ini sebagai latar permainan.

 

PERKASA BAHASA MELAYU

Muzammil yang juga Ketua Pegawai Eksekutif ABKL, berkata permainan itu bukan pelayan biasa, sebaliknya permainan realiti maya beridentitikan masyarakat Malaysia yang dibangunkan dengan matlamat memperkasa bahasa Melayu di peringkat global menerusi jalinan persahabatan dalam talian.


Adik Beradik Kuala Lumpur (ABKL): Muzammil Mudzakir dan Mohd Hilmi Azli

Ujarnya, berbeza dengan pelayan antarabangsa yang menjadikan bahasa Inggeris sebagai medium, ABRP menggunakan bahasa Melayu dalam semua aspek permainan termasuk peraturan dan arahan.

“Kebanyakan anak muda tempatan menggunakan bahasa Melayu dalam kehidupan seharian, jadi, bila mereka ‘gaming’ (bermain permainan dalam talian) antarabangsa tidak semua faham. Oleh sebab itu kami melihat ini sebagai peluang untuk mengangkat bahasa kebangsaan dalam dunia 'gaming'.

“Jujurnya kami tidak menyangka penerimaannya sangat luar biasa. Pengaruh bahasa Melayu dalam ABRP bukan sahaja memudahkan pemain (tempatan), tapi turut mendekatkan mereka, mencetuskan kemesraan yang relevan dalam budaya Malaysia,” kongsinya ketika ditemui Bernama baru-baru ini.

Muzammil yang aktif sebagai seorang penstrim dalam industri permainan dalam talian, berkata konsep yang diketengahkan mereka, iaitu  permainan berperanan atau ‘role play’ berlatarkan kehidupan rakyat Malaysia, berjaya menarik perhatian komuniti antarabangsa sehingga ada yang mencadangkan agar ABRP beralih kepada bahasa Inggeris sebagai bahasa perantara.


ABRP beridentitikan masyarakat Malaysia yang dibangunkan dengan matlamat memperkasa bahasa Melayu

“Namun ABKL memilih untuk kekal menggunakan bahasa kebangsaan kerana yakin teknologi terjemahan masa kini mampu menghapuskan kekangan komunikasi antara pemain dari pelbagai negara.

“Alhamdulillah, keputusan kami itu tepat kerana sekarang makin ramai pemain dari Indonesia dan Brunei khususnya, memilih untuk berkomunikasi dalam bahasa Melayu ketika bermain dalam pelayan ABRP, sekali gus membuktikan bahasa rasmi negara kita memiliki daya tarikan tersendiri di pentas antarabangsa,” ujarnya. 

Malah katanya penggunaan bahasa Melayu itu juga tidak menghalang pemain antarabangsa seperti dari Singapura dan Australia melakukan penstriman langsung ketika bermain ABRP.

“Walaupun kita gunakan bahasa Melayu sepenuhnya dalam aspek permainan, pemain bebas  berkomunikasi dalam bahasa lain asalkan tidak melanggar peraturan termasuk menjaga adab dan tutur kata,” jelas beliau lagi.

Menurutnya, di sebalik penggunaan bahasa Melayu, ABRP berjaya berada dalam kelompok teratas permainan dalam talian dari segi saiz komuniti, bersaing dengan pelayan antarabangsa lain.

“Ini membuktikan bahasa Melayu mampu mengangkat dunia ‘gaming’ Malaysia ke peringkat lebih tinggi,” katanya, menambah buat masa ini ABRP satu-satunya permainan dalam talian yang menggunakan bahasa Melayu sepenuhnya. 

 

KELUARGA DAN KOMUNITI

Sementara itu, Mohd Hilmi yang berperanan sebagai Ketua Pegawai Teknologi Maklumat ABKL, berkata permainan tersebut mengetengahkan nilai kekeluargaan dan kemasyarakatan dalam kalangan rakyat Malaysia.

“Malah pemilihan nama ‘Adik Beradik’ itu bukan sekadar jenama, tetapi usaha kami untuk mencerminkan budaya Malaysia yang rapat merentasi kaum.    

“Dalam permainan ini, pemain menyertai sebuah komuniti yang berasaskan kehidupan di Malaysia. Pemain bebas memilik watak yang mereka inginkan, seperti jadi polis, petani dan sebagainya yang mereka hidupkan dalam komuniti bersama-sama dengan pemain lain.

“Tidak seperti ‘game’ lain yang memfokuskan pada kemenangan dan ganjaran, ABRP memupuk persahabatan sambil pemain belajar tentang budaya merentasi kaum. Mereka boleh hidupkan watak masing-masing dengan kreativiti mereka, tanpa skrip dan sebagainya, seperti dalam kehidupan sebenar,” jelasnya.


Tidak seperti ‘game’ lain yang memfokuskan pada kemenangan dan ganjaran, ABRP memupuk persahabatan dan interaksi antara pemain

Mohd Hilmi yang juga seorang pengatur cara, berkata secara tidak langsung pendekatan itu mewujudkan suasana mesra dan harmoni seperti realiti sebenar masyarakat di Malaysia.

Tidak setakat bermain,  sesetengah warga ABRP turut menjadikan permainan itu sebagai sumber pendapatan menerusi penstriman langsung di platform sosial seperti TikTok dan YouTube.

“Buat masa ini kami menguruskan tiga pelayan utama, iaitu Adik Beradik East, Adik Beradik West dan Adik Beradik Mobile bagi menampung ‘community discord’ (platform sosial) lebih 100,000 ahli,” katanya.

 Kini mempunyai 25 staf yang terdiri daripada anak muda tempatan dengan pelbagai kepakaran dalam bidang teknologi maklumat, ABKL menurut Mohd Hilmi berasal daripada cadangan Muzammil agar dibangunkan sebuah permainan dalam talian.

  ABRP merupakan sebuah pelayan permainan dalam talian di platform FiveM berasaskan Grand Theft Auto V (GTA V).

Ditubuhkan pada tahun 2021 sebagai syarikat fesyen, ABKL melangkah berani ke dunia digital setahun kemudian, satu keputusan yang mengubah landskap hiburan tempatan.

 

IKON

Sementara itu, Mohd Hilmi berkata bagi memperkukuh jenama ABRP dalam dunia permainan dalam talian, pihaknya telah memilih bekas pelumba MotoGP negara Hafizh Syahrin Abdullah serta pempengaruh dan personaliti permainan dalam talian Nureddy Nursal sebagai ikon rasmi mereka.


Bekas pelumba MotoGP negara Hafizh Syahrin Abdullah serta pempengaruh dan personaliti permainan dalam talian Nureddy Nursal sebagai ikon rasmi ABRP

Beliau berkata kehadiran Hafizh dan Nureddy atau dikenali Daddy Hood itu bukan perkara baharu kerana kedua-dua figura tersebut telah lama dikenali dan mempunyai pengikut masing-masing dalam dunia pentsriman langsung.

Hafizh ketika ditemui Bernama, berkata penglibatannya dalam ABRP lebih daripada hobi.

“Saya memang suka bermain ‘online game’ dan ABRP ini menjadi tempat saya mengurangkan tekanan. Tambahan pula ABRP ini lain daripada yang lain sebab kita bermain dalam sebuah komuniti berasaskan realiti, dengan masing-masing ada watak yang dimainkan dalam komuniti itu. 

“Saya pula seorang ‘introvert’ dan tidak mempunyai ramai kawan di luar bidang permotoran. Jadi, menerusi ABRP, saya dapat bertemu kawan baharu daripada pelbagai latar belakang,” jelasnya yang memegang watak mekanik bernama Yaka Leng.

“Saya seronok dengan watak yang saya mainkan sebab saya boleh lari daripada pekerjaan hakiki saya,” katanya yang kini berlumba untuk pasukan JDT Racing.

-- BERNAMA

 


 

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2487270