KUALA NERUS, 5 Nov (Bernama) -- Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (MAIDAM) memperuntukkan bantuan zakat berjumlah RM16.5 juta untuk diagihkan melalui program Konvoi Agihan Hak Asnaf Fakir Miskin (KAHA) tahun ini.
Yang Dipertua MAIDAM Datuk Shaikh Harun Shaikh Ismail berkata daripada jumlah itu, sebanyak RM13.45 juta telah diagihkan kepada 25,162 ketua isi rumah asnaf fakir miskin di seluruh negeri melalui fasa pertama yang bermula 1 Jan hingga 31 Ogos lepas.
“Agihan fasa kedua pula mulai 1 Sept lepas hingga 31 Dis ini menyaksikan seramai 5,000 ketua isi rumah menerima agihan yang keseluruhan berjumlah RM3 juta,” katanya kepada pemberita pada program penyampaian sumbangan bakul makanan kepada penerima KAHA 2025 di Masjid Bukit Tunggal di sini hari ini.
Beliau berkata penerima dipilih berdasarkan senarai empat kategori bantuan MAIDAM bagi tahun ini iaitu bantuan bulanan, bantuan sara hidup, bantuan sewa rumah dan bantuan perubatan am.
Seiring dengan peredaran masa, Shaikh Harun berkata MAIDAM telah melakukan pembaharuan dalam program KAHA tahun ini melalui pelaksanaan agihan zakat tanpa tunai antara RM300 hingga RM700 kepada setiap isi rumah yang layak.
Beliau berkata melalui kaedah ini, bantuan akan disalurkan terus ke akaun penerima dan penebusan boleh dibuat di rangkaian kedai atau premis yang dilantik oleh MAIDAM melalui pelaksana program ME12PAY Digital Sdn Bhd manakala penerima hanya perlu membawa kad pengenalan untuk menebus barangan.
Shaik Harun juga berkata antara yang boleh ditebus oleh penerima ialah barangan basah dan kering, pakaian termasuk seragam sekolah, bayaran bil utiliti selain rawatan dan ubat di klinik serta farmasi.
Ketua Pegawai Eksekutif MAIDAM Profesor Madya Datuk Dr Ahmad Azrin Adnan pula berkata program KAHA 2025 hari ini menyaksikan pihak majlis berkenaan dan pembayar zakat menziarahi empat keluarga penerima di kediaman mereka di sekitar Kuala Nerus.
Beliau berkata program ziarah seumpama itu mampu mendekatkan pihak pengurusan MAIDAM dan para pembayar zakat dengan golongan penerima.
“Selain mengeratkan hubungan, program KAHA juga dapat memperkukuh kepercayaan semua pihak terhadap pengurusan zakat negeri.
"Selain itu, KAHA membuktikan komitmen MAIDAM dalam memperkukuh zakat sebagai instrumen pembangunan ummah dan memperluas khidmat kebajikan kepada masyarakat,” katanya.
-- BERNAMA