Oleh Nur Athirah Mohd Shaharuddin
KUALA LUMPUR, 5 Nov (Bernama) -- Kontrak niaga hadapan minyak sawit mentah (MSM) di Bursa Malaysia Derivatives ditutup rendah hari ini dipengaruhi oleh kebimbangan mengenai peningkatan output.
Peniaga minyak sawit David Ng berkata jangkaan peningkatan pengeluaran dalam tempoh beberapa minggu akan datang mungkin menyebabkan paras stok yang lebih tinggi di negara ini.
“Kami mengesan paras sokongan melebihi RM4,100 satu tan dan paras rintangan pada RM4,250 satu tan,” katanya kepada Bernama.
Pada penutupan dagangan, kontrak bulan semerta November 2025 menyusut RM35 kepada RM4,075 satu tan, Disember 2025 susut RM39 kepada RM4,079 satu tan, Januari 2026 berkurangan RM35 kepada RM4,108 satu tan dan Februari 2026 berkurangan RM30 kepada RM4,141 satu tan.
Sementara itu, kontrak Mac 2026 susut RM23 kepada RM4,163 satu tan dan April 2026 berkurangan RM13 kepada RM4,172 satu tan.
Jumlah dagangan susut kepada 87,213 lot daripada 119,345 lot pada Selasa manakala kepentingan terbuka merosot kepada 262,625 kontrak daripada 265,293 kontrak sebelumnya.
Harga MSM fizikal bagi November Selatan berkurangan RM20 kepada RM4,130 satu tan.
-- BERNAMA