ALOR GAJAH, 5 Nov (Bernama) -- Kementerian Dalam Negeri (KDN) akan memohon bantuan pihak berkuasa Thailand bagi menyemak status kerakyatan suspek kes tembak di Sungai Golok, Sabtu Lepas.
Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata hal ini kerana beliau dimaklumkan oleh Ketua Polis Kelantan Datuk Mohd Yusoff Mamat dalam satu taklimat bahawa suspek berumur 30-an itu memiliki dua kerakyatan.
"Dari segi undang-undang, kita tidak mengiktiraf dua kerakyataan… maksudnya kalau ada insiden begitu, kita akan minta mereka (pemegang dua kerakyatan) untuk pilih satu (kerakyatan sahaja). Mereka tidak boleh pegang dua (kerakyatan pada satu-satu masa).
"Saya akan minta Jabatan Pendaftaran Negara sama ada terdapat rekod yang boleh dibuat perbandingan. Kita tidak boleh buat semakan sehala, tetapi perlu dapat kerjasama pihak rakan negara jiran kita, dalam kes ini Thailand," katanya.
Beliau berkata demikian selepas merasmikan Majlis Konvokesyen Sijil Kemahiran Malaysia Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) 2025 di Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) Durian Tunggal, di sini hari ini.
Pada majlis berkenaan, sebanyak 436 graduan membabitkan 139 pegawai, 281 anggota dan 16 petugas jabatan itu menerima Sijil Kemahiran Malaysia dalam tujuh bidang, iaitu Penyeliaan Perkhidmatan Sekuriti, Pentadbiran Pejabat, Kejurulatihan Teknikal Senjata Api, Penyeliaan Penyelenggaraan Senjata Api, Operasi Pelindungan Rapat, National Competency Standard Train-the-Trainers dan Operasi Kenderaan Profesional.
Mengulas lanjut, Saifuddin Nasution berkata kerajaan juga akan mencari formula terbaik untuk menyelesaikan masalah individu yang mempunyai dua kerakyatan, terutama bagi mereka yang tinggal di kawasan sempadan negara.
“Hal ini (individu dengan dua kerakyatan ini) sudah berlaku sekian lama … kementerian memang ke arah meneliti dan mencari formula terbaik untuk langkah penyelesaian.
"Hubungan kita dengan Thailand banyak pada peringkat jawatankuasa antara sempadan, jawatankuasa keselamatan dan sebagainya … kita ada mesyuarat berkala … perkara itu akan saya cadangkan pada peringkat kementerian," katanya.
Ahad lepas, media melaporkan seorang lelaki rakyat Malaysia maut ditembak dalam kejadian di sebuah rumah di pekan Sungai Golok, Narathiwat dan suspek yang juga bekas pemain import pasukan bola sepak Kelantan telah menyerah diri kepada polis Thailand.
-- BERNAMA