EKONOMI

Pembangunan Bakat Tempatan Kunci Kepada Kejayaan Industri Semikonduktor -- PM Anwar

06/11/2025 03:32 PM

CYBERJAYA, 6 Nov (Bernama) -- Kejayaan Malaysia dalam membangunkan industri semikonduktor bergantung kepada keupayaan negara melahirkan kumpulan bakat  tempatan yang berkemahiran tinggi dan mampu memenuhi keperluan pelabur global, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau berkata, selain dasar dan prasarana yang baik, aspek pembangunan bakat merupakan komponen paling mencabar dalam memastikan ekosistem semikonduktor negara benar-benar kukuh dan mampan.

“Yang paling mencabar adalah talent pool (kumpulan bakat). Apa makna ada prasarana, dasar yang baik, kemudahan dan insentif tetapi semua tenaga kerja datang dari luar. Dalam dunia global ini kita memanfaatkan semua, tetapi kita mahu kekuatan dalaman,” kata beliau.

Anwar berkata demikian ketika berucap pada majlis pelancaran Malaysia Semiconductor IC Design Park 2, anjuran bersama Selangor Information Technology & Digital Economy Corporation (Sidec) dan Kerajaan Negeri Selangor, di sini, hari ini.

Turut hadir, Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari.

Perdana Menteri berkata projek semikonduktor perlu disokong oleh pelaksanaan yang cekap dan penyediaan prasarana yang pantas bagi menarik lebih banyak pelaburan asing berkualiti tinggi.

"Demi kepentingan sebahagian pelabur lain, kita boleh menyediakan infrastruktur yang mencukupi dan menyediakan insentif yang boleh menjadikan Malaysia destinasi pelaburan menarik. Tetapi kita juga memerlukan kumpulan bakat yang lengkap dan terlatih untuk melindungi kepentingan negara,” kata beliau.

Menurut beliau, usaha sedang digerakkan secara menyeluruh melalui kerjasama antara kementerian, Khazanah Nasional dan pihak industri bagi melatih anak muda menerusi program menambah kemahiran dan latihan semula. 

“Jadi sebab itu apa yang dilakukan di sini dan umpamanya kerjasama semua kementerian, Khazanah membantu supaya anak-anak yang cergas dan pintar diajak bersama dan diberi latihan,” kata beliau.

Anwar berkata, selain itu universiti juga perlu memastikan kurikulum akademik disesuaikan dengan kehendak industri semasa agar graduan yang dilahirkan memenuhi keperluan pasaran kerja.

"Malah dalam kurikulum universiti, kita perlu mempunyai sinergi antara industri dan universiti kerana industrilah yang akan menentukan dan memutuskan jenis profesional dan kakitangan yang mereka mahukan," kata beliau.

Dalam pada itu, Perdana Menteri turut memuji Kementerian Pendidikan Tinggi dan Universiti Teknologi Malaysia (UTM) yang berjaya menubuhkan Fakulti Kecerdasan Buatan (AI) pertama negara hanya dalam tempoh tiga bulan, berbanding lapan bulan seperti biasa.

"Ini menunjukkan bahawa dengan hala tuju dan tindakan segera yang jelas, kita boleh bergerak pantas. Malaysia sentiasa membantu industri baharu, dan momentum ini mesti diteruskan," kata beliau.

Sementara itu Anwar berkata inisiatif seperti IC Design Park 2 bukan sahaja memperkukuh kedudukan Malaysia dalam rantaian bekalan semikonduktor global tetapi juga menyediakan landasan untuk melahirkan tenaga muda tempatan yang mampu memacu agenda transformasi digital negara.

Terdahulu, semasa pelancaran IC Design Park 2, Anwar turut merasmikan Advanced Chip Testing Centre (Pusat Pengujian Cip Canggih).

Amirudin yang turut menyaksikan majlis itu berkata pusat tersebut akan menjadi fasiliti ujian cip bertaraf dunia pertama di rantau Asia Tenggara serta pemangkin utama dalam usaha Malaysia membina ekosistem semikonduktor menyeluruh daripada reka bentuk hingga pengujian dan pengesahan cip.

Pusat Pengujian Cip Canggih itu merupakan sebahagian daripada strategi nasional untuk menjadikan Malaysia bukan hanya sekadar pengeluar cip kontrak tetapi sebagai pereka dan pemilik teknologi cip tempatan.

-- BERNAMA

 

 

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2487809