PUTRAJAYA, 6 Nov (Bernama) -- Festival Idea (FOI) Putrajaya 2025 bertujuan memperkukuh kedudukan Malaysia sebagai hab dinamik dalam pendidikan tinggi dan penyelidikan di mana inovasi serta etika bersatu untuk memberi manfaat kepada manusia, kata Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir.
Bertemakan "MADANI: Melakar Masa Depan, Merealisasikan Idea", beliau berkata FOI memandang Putrajaya sebagai sebuah bandar idea serta menjadi medan pertemuan bagi dasar, falsafah dan inovasi.
Zambry berkata masyarakat kini hidup dalam era yang dicirikan oleh kepantasan dan inovasi namun kemajuan harus disertai dengan kebijaksanaan serta tujuan yang jelas.
"FOI menegaskan bahawa kemajuan berpaksikan kebijaksanaan, teknologi mesti dipandu oleh etika dan pendidikan harus berkhidmat untuk kemanusiaan. Hal ini mencerminkan inti pati pendidikan tinggi di mana ilmu bukan sahaja memupuk minda tetapi juga hati nurani," katanya.
Hari ketiga FOI Putrajaya diserikan dengan kehadiran Raja Permaisuri Agong Raja Zarith Sofiah yang berkenan berangkat ke majlis berkenaan, diiringi Che' Puan Mahkota Khaleeda Johor, yang juga Pro Canselor Universiti Teknologi Malaysia (UTM).
Zambry berkata FOI Putrajaya menggariskan kepercayaan Malaysia bahawa idea harus berkhidmat kepada minda dan kemanusiaan, menyeru masyarakat untuk berfikir secara mendalam, berinovasi dengan beretika serta membina masa depan yang cerdas dan berperikemanusiaan.
Beliau turut merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada UTM selaku penganjur utama FOI dan pengelola Titah Diraja hari ini.
Zambry berkata legasi akademik dan inovasi UTM mencerminkan aspirasi Kementerian Pendidikan Tinggi untuk menjadikan Malaysia sebagai pusat kecemerlangan intelektual serta moral.
Beliau turut menzahirkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Raja Zarith Sofiah atas kesudian Seri Paduka Baginda berangkat ke majlis tersebut.
Putrajaya FOI 2025, yang berlangsung dari 4 hingga 8 Nov ini, dijangka menarik hampir 500,000 pengunjung ke lokasi manakala kira-kira dua juta orang lagi, termasuk 1.5 juta peserta secara maya, akan mengikuti acara ini dari seluruh dunia.
Memasuki tahun kedua, Putrajaya FOI 2025 bukan sahaja berperanan sebagai platform pertukaran idea malah menjadi forum utama untuk mengubah ilmu dan kreativiti menjadi penyelesaian yang memajukan kesejahteraan masyarakat serta pembangunan negara.
-- BERNAMA