AM

Malaysia Tingkat Usaha Untuk Terajui Semikonduktor, Inovasi Teknologi Canggih - Chang

05/11/2025 11:53 PM

KUALA LUMPUR, 5 Nov (Bernama) -- Malaysia mempergiatkan usaha untuk menjadi negara berteknologi tinggi yang dipacu inovasi, dengan strategi yang jelas beralih daripada sekadar bidang pembuatan kepada penciptaan teknologi dan pemimpin sektor semikonduktor global, kata Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Chang Lih Kang.

Berucap pada edisi ketujuh “Tech Talks” anjuran Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) di UCSI University di sini malam ini, Chang berkata masa depan teknologi Malaysia bergantung kepada keupayaan negara untuk melabur dalam bakat, penyelidikan dan inovasi terutama dalam sektor semikonduktor yang sedang berkembang pesat. 

“Kita sedang bersaing di peringkat global bukan sahaja untuk menghasilkan teknologi tetapi juga menguasainya. Persaingan ini hanya akan dimenangi oleh negara yang bersedia melabur dalam bakat, inovasi dan keberanian,” katanya.

Chang berkata industri elektrik dan elektronik negara, dengan eksport semikondutor meningkat daripada RM106 bilion pada 2015 kepada RM387 bilion pada 2023, kekal sebagai antara tonggak ekonomi yang menyumbang seperempat daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) dan menyediakan kira-kira 100,000 pekerjaan. 

“Menerusi pelaburan baharu, khususnya latihan serta perkongsian strategik kita sedang membina keupayaan semikonduktor yang menyeluruh. Matlamat kita jelas iaitu menjadikan ekosistem semikonduktor Malaysia bukan sahaja kompetitif tetapi juga lengkap, berdaya tahan dan bersedia menghadapi masa depan,” katanya.

Beliau berkata Dasar Sains, Teknologi dan Inovasi Negara (DSTIN) 2021-2030 menjadi asas kepada aspirasi Malaysia untuk muncul sebagai negara berteknologi tinggi, dengan enam dasar utama dan 40 inisiatif rentas kementerian yang dirangka bagi memperkukuh tadbir urus dalam penyelidikan dan inovasi. 

“Malaysia menyasarkan untuk meningkatkan perbelanjaan bagi R&D (penyelidikan dan pembangunan) kepada 2.5 peratus daripada KDNK, dengan 70 peratus dipacu oleh sektor swasta. Modal insan kekal sebagai teras misi ini, dengan sasaran 200 penyelidik, saintis, jurutera dan pakar teknologi bagi setiap 10,000 tenaga kerja,” katanya.

Chang berkata negara kini berada di kedudukan ke-34 dalam Indeks Inovasi Global 2025 manakala Kuala Lumpur meningkat daripada tangga ke-93 kepada ke-86 dalam kalangan kluster sains global sekali gus menjadikan Malaysia satu daripada 15 negara di dunia yang mempunyai dua atau lebih kluster inovasi yang diiktiraf.

Beliau berkata agensi di bawah MOSTI, khususnya MIMOS memainkan peranan penting dalam menyokong agenda ini menerusi R&D, pemindahan teknologi, serta pembangunan bakat.

Pusat Teknologi Semikonduktor MIMOS kini menawarkan kemudahan ujian dan kebolehpercayaan taraf dunia, selain berfungsi sebagai kemudahan ujian automatif antarabangsa. Pada masa yang sama, MIMOS Junior Academy menggalakkan golongan muda Malaysia meneroka bidang sains dan inovasi sejak awal usia.

“Kejayaan tidak mampu dicapai hanya menerusi usaha kerajaan sebaliknya kerjasama sektor awam-swasta amat penting, iaitu menggabung dasar kerajaan, kepakaran industri dan inovasi akademik di bawah satu misi,” katanya

Tambah beliau tumpuan MOSTI kekal untuk memastikan setiap pelaburan dalam inovasi berjaya diterjemahkan yang diukur dengan nilai, dan beliau menggesa usaha bersama untuk menjadikan Malaysia bukan sebagai peserta tetapi peneraju dan kuasa besar dalam persaingan teknologi global. 

-- BERNAMA 

 

 

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2487617