SHAH ALAM, 6 Nov (Bernama) -- Biduanita Negara Datuk Seri Siti Nurhaliza Tarudin dilantik Profesor Adjung Universiti Teknologi Mara (UiTM) sebagai mengiktiraf sumbangannya dalam bidang keusahawanan yang berjaya membina empayar perniagaan tersendiri.
Naib Canselor Universiti Teknologi MARA (UiTM) Prof Datuk Dr Shahrin Sahib @ Sahibuddin berkata pelantikan Siti Nurhaliza, 46, selama dua tahun bermula 15 Okt 2025 hingga 15 Okt 2027 itu adalah antara langkah signifikan UiTM dalam memperkukuh ekosistem keusahawanan universiti.
Beliau berkata pelantikan Siti Nurliza juga merupakan pengiktirafan UiTM terhadap sumbangan besar penyanyi kelahiran Temerloh, Pahang itu bukan sahaja sebagai ikon seni negara tetapi juga sebagai usahawan wanita berdaya saing.
pic-2
“Kejayaannya menampilkan kreativiti, integriti dan daya inovasi dalam perniagaan serta mengangkat jenama tempatan ke peringkat antarabangsa menjadi inspirasi kepada ribuan usahawan muda dan mahasiswa di seluruh negara,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam ucapan pada Majlis Penyerahan Surat Pelantikan Profesor Adjung Fakulti Pengurusan dan Perniagaan UiTM di Bangunan Tuanku Canselori Syed Sirajuddin, UiTM Shah Alam hari ini.
Terdahulu, Siti Nurhaliza hari ini menerima surat pelantikan Jawatankuasa berkenaan daripada Shahrin disaksikan Dekan Fakulti Pengurusan dan Perniagaan UiTM Profesor Dr Shafinar Ismail.
pic-3
Shahrin berkata UiTM amat berbangga menerima penyanyi nombor satu negara itu sebagai sebahagian daripada keluarga besar universiti dan pelantikan beliau bukan sahaja mengiktiraf kejayaannya dalam industri kreatif dan keusahawanan, tetapi juga menandakan permulaan baharu dalam kolaborasi antara dunia akademik dan industri.
"Pelantikan ini memperkukuh ekosistem keusahawanan UiTM dan membuka ruang kepada pelajar untuk menimba ilmu terus daripada tokoh yang telah membina empayar perniagaan dengan nilai, kejujuran dan ketekunan,” katanya.
Sementara itu, Siti Nurhaliza menzahirkan rasa berbesar hati menerima pelantikan tersebut serta terharu atas kepercayaan yang diberikan oleh UiTM.
pic-4
“Keusahawanan bagi saya bukan hanya tentang keuntungan, tetapi tentang nilai, kejujuran dan tanggungjawab sosial. Saya berharap dapat berkongsi pengalaman sebenar dunia perniagaan agar pelajar memahami bahawa kejayaan datang daripada usaha gigih, kesungguhan dan keikhlasan," katanya.
Siti Nurhaliza akan memainkan peranan penting dalam membimbing pelajar dan warga akademik melalui perkongsian pengalaman sebenar dunia keusahawanan, termasuk sesi masterclass, forum keusahawanan dan bimbingan industri.
Beliau juga akan membantu memperkukuh hubungan strategik antara UiTM dan industri kreatif serta membuka peluang kerjasama rentas bidang dalam pengkomersialan idea dan inovasi pelajar.
-- BERNAMA