SHAH ALAM, 27 Okt (Bernama) -- Universiti Teknologi MARA (UiTM) mencipta sejarah apabila berjaya melancarkan nanosatelit keduanya UiTMSAT-2 ke Stesen Angkasa Antarabangsa (ISS) menerusi misi HTV-X1 yang dilancarkan menggunakan roket H3 F7 dari Pusat Angkasa Lepas Tanegashima, Jepun, tepat 8 pagi waktu Malaysia (9 pagi waktu Jepun), semalam.
Pelancaran itu turut disiarkan secara langsung oleh Agensi Penerokaan Aeroangkasa Jepun (JAXA), menandakan satu detik penting bagi Malaysia dan ASEAN apabila UiTM mengetuai misi satelit serantau pertama yang dibangunkan di bawah inisiatif ASEANSAT.
UiTM dalam satu kenyataan memaklumkan kenderaan HTV-X1 dijangka berlabuh di ISS dalam tempoh 48 hingga 72 jam sebelum UiTMSAT-2 ditempatkan di orbit rendah bumi pada suku pertama 2026.
UiTMSAT-2 menjadi nanosatelit pertama yang direka, dibangunkan dan diterajui oleh sebuah universiti ASEAN, sekali gus mengangkat UiTM sebagai peneraju serantau dalam pembangunan teknologi angkasa dan diplomasi saintifik.
“Misi ini adalah kemuncak kepada program ASEANSAT, sebuah inisiatif kolaboratif yang diterajui UiTM sejak 2021 dengan penyertaan University of Perpetual Help System DALTA (Filipina) dan King Mongkut’s University of Technology North Bangkok (Thailand), serta bimbingan teknikal berterusan daripada Kyushu Institute of Technology (Kyutech), Jepun.
“UiTMSAT-2 merupakan kesinambungan kejayaan UiTMSAT-1 yang dilancarkan pada 2018. Jika misi pertama menandakan Malaysia sebagai peserta global dalam penyelidikan nanosatelit, misi kedua ini meletakkan UiTM sebagai pereka utama dan peneraju projek antarabangsa,” menurut kenyataan itu.
Penasihat utama projek Profesor Dr Mohamad Huzaimy Jusoh berkata UiTM kini telah mencapai tahap kematangan dalam reka bentuk sistem satelit sepenuhnya, selaras dengan aspirasi universiti untuk menjadi peneraju teknologi angkasa ASEAN menjelang 2030.
Ketua projek Dr. Fatimah Zaharah Ali pula berkata UiTMSAT-2 bukan sekadar pelancaran satelit tetapi lambang keupayaan UiTM melahirkan penyelidik muda yang mampu memimpin projek antarabangsa hasil bimbingan dan pelaburan strategik jangka panjang universiti.
Beliau berkata pembiayaan projek ini diperoleh melalui Dana Kolaborasi Antarabangsa (ICF) di bawah Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) berjumlah RM500,000, dengan tambahan RM20,000 daripada Dana Perkongsian Penyelidikan Strategik (SRP) UiTM.
“Sokongan turut diberikan oleh rakan kolaboratif serantau, Filipina melalui sumbangan kewangan USD40,000 dan Thailand menerusi bantuan peralatan serta kepakaran teknikal.
“Kerjasama strategik dengan Agensi Angkasa Malaysia (MYSA) turut memperkukuh hala tuju misi ini, melibatkan nasihat polisi, pengesahan spesifikasi teknikal dan bimbingan teknokratik bagi memastikan ia mematuhi piawaian antarabangsa,” katanya.
UiTMSAT-2 ialah satelit CubeSat 1U (10×10×11.35 cm, 1.1 kilogram) yang membawa kamera beresolusi tinggi dan sistem Internet benda (IoT) berasaskan komunikasi satelit.
Antara objektif utama misi termasuk pemerhatian bumi dan aplikasi IoT berasaskan angkasa untuk pertanian pintar dan pengurusan bencana, fungsi ‘simpan dan hantar’ bagi penghantaran data penderia dari kawasan terpencil, dan pembangunan kapasiti serantau bagi melatih pelajar dan penyelidik ASEAN dalam teknologi hiliran angkasa.
Menurut UiTM, selepas melabuhkan HTV-X1 di ISS, UiTMSAT-2 akan dilancarkan dari Japanese Experiment Module (JEM) menggunakan JEM Small Satellite Orbital Deployer (J-SSOD) pada suku pertama 2026.
Proses pelepasan ini akan turut disiarkan secara langsung oleh JAXA, menandakan penyertaan rasmi UiTM dalam senarai elit lebih 100 nanosatelit yang pernah dikeluarkan melalui program J-SSOD, menurut kenyataan itu.
Sementara itu, Naib Canselor UiTM Prof Datuk Dr Shahrin Sahib @ Sahibuddin dalam kenyataan sama mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan dan tahniah kepada seluruh pasukan penyelidik, jurutera dan pelajar yang terlibat dalam pembangunan UiTMSAT-2 serta program ASEANSAT.
Beliau berkata pencapaian itu bukan sekadar kejayaan sains dan teknologi tetapi simbol kekuatan UiTM dalam melahirkan bakat global dan memacu penyelidikan berimpak tinggi.
“UiTMSAT-2 membuktikan bahawa universiti tempatan mampu menjadi peneraju rantau ini dalam bidang angkasa dan inovasi masa depan,” katanya.
-- BERNAMA