JENAYAH & MAHKAMAH

Persiapan Polis Bagi PRN Sabah Turut Ambil Kira MTL - KPN

07/11/2025 11:53 PM

KUALA LUMPUR, 7 Nov (Bernama) -- Persiapan Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi penugasan berkaitan Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17 turut mengambil kira monsun timur laut (MTL) yang telah bermula ketika ini.

Ketua Polis Negara Datuk Seri Mohd Khalid Ismail berkata lebih 9,000 pegawai dan anggota polis yang ditugaskan bagi PRN Sabah ke-17 yang ditetapkan pada 15 Nov ini untuk penamaan calon manakala 25 Nov bagi pengundian awal dan 29 Nov hari pengundian, telah  bersedia untuk menghadapi sebarang kemungkinan.

“Semua sedia maklum bahawa MTL juga dijangka melanda pada tempoh itu, persiapan terus kita buat bagi memastikan (semua lancar) sekiranya berlaku hujan atau ribut semasa pilihan raya sedang berlangsung. Insya-Allah kita akan buat persiapan yang terbaik,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Program Selawat dan Munajat Perdana Polis Kuala Lumpur di Masjid Al-Sultan Abdullah, Presint Merdeka 118 di sini hari ini, yang turut dihadiri Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail dan Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Fadil Marsus.

Hadir sama pegawai kanan dan anggota PDRM dari Ibu Pejabat Kontinjen Kuala Lumpur dan Selangor, serta pendakwah bebas Habib Ali Zainal Abidin Al Hamid.

Terdahulu dalam ucapannya, Fadil berkata program berkenaan adalah inisiatif Polis Kuala Lumpur untuk bersama-sama dengan masyarakat menyemai dan meningkatkan rasa kecintaan kepada Nabi Muhammad SAW.

"Dengan mengambil penghayatan daripada sirah Baginda dan menjadikan ajaran al-Quran dan sunnah sebagai panduan utama dalam aspek kehidupan dapat meningkatkan kecintaan kita kepada-Nya,” katanya.

-- BERNAMA

 

 

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2488393