KUANTAN, 7 Okt (Bernama) -- Hujan lebat dan ribut selama lebih sejam bermula lewat petang tadi mengakibatkan beberapa kejadian pokok tumbang dilaporkan di sekitar bandar raya ini.
Pegawai Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Daerah Kuantan Mejar (PA) Zahidi Zainudin berkata pihaknya mula menerima maklumat berkaitan insiden berkenaan pada 7.46 malam.
Beliau berkata pokok tumbang dilaporkan antaranya di Jalan Tanah Putih menghala Gambang, Taman Cenderawasih dan Bukit Setongkol selain kejadian sama turut dilaporkan menyebabkan atap kediaman di Jalan Bukit Bay Route rosak.
“APM telah menggerakkan anggota ke lokasi terlibat untuk melakukan pemantauan dan kerja-kerja pembersihan bagi memastikan laluan kembali selamat digunakan,” katanya kepada Bernama malam ini.
Beliau berkata setakat ini tiada laporan kecederaan atau kemalangan jiwa diterima.
-- BERNAMA