KUALA LUMPUR, 8 Nov (Bernama) -- Dalam arus muzik yang kian didominasi genre pop dan pop elektronik, penyanyi dan pelakon terkenal Siti Nordiana Alias tampil berani menyemarakkan kembali keindahan irama Malaysia menerusi single terbaharunya berjudul Ahai.
Lagu ciptaan Ikhwan Fatana dan Wan Saleh itu menjadi wadah buat Siti Nordiana, 41, meneruskan perjuangannya mempertahankan identiti muzik Melayu yang kian jarang kedengaran di pasaran arus perdana.
Lebih mesra disapa Nana, beliau berkata lagu tersebut merupakan single solo pertamanya dalam genre irama Malaysia, selepas menghasilkan album duet bersama-sama dengan Syura berjudul Firuz pada 2003.
pic-2
“Irama Malaysia ini memang jiwa saya dari dulu lagi. Saya membesar dengan lagu-lagu genre ini termasuk menyertai Pertandingan Bintang Asli ketika kecil.
“Peminat pun sering minta saya nyanyi lagu irama Malaysia masa ‘show’, jadi saya rasa inilah masa yang sesuai untuk kembalikan genre ini dengan pendekatan lebih segar,” katanya selepas pelancaran single tersebut di Bukit Bintang, malam tadi.
Mengakui semangatnya untuk memperjuangkan irama tradisional masih menebal, anak jati Felda Sendayan, Negeri Sembilan itu berkata beliau bagaikan terpanggil untuk mengembalikan suasana lagu-lagu lama yang membentuk jiwa muzik Melayu.
pic-3
“Selain memberikan banyak variasi pada industri, irama Malaysia masih relevan dan diterima baik oleh pendengar masa kini. Ada beberapa rakan artis yang turut menghasilkan lagu irama Malaysia juga menerima sambutan positif, menandakan peminat kini lebih matang dan terbuka untuk menghargai kepelbagaian genre muzik tempatan,” katanya.
Bercerita mengenai single terbaharunya itu, Siti Nordiana berkata karya berkenaan mengangkat elemen klasik yang diinspirasikan daripada lagu-lagu ikonik Allahyarham Datuk Suhaimi Mohd Zain atau lebih dikenali sebagai Pak Ngah.
“Ahai dibina dengan bunyi tradisional seperti gendang dan kompang, menjadikan iramanya lebih ‘asli’ namun tetap mudah diterima pendengar masa kini. Nana nak ‘roh’ lagu tradisional seperti dahulu, zaman kita membesar (dikekalkan), macam gaya Pak Ngah dan sebagainya.
pic-4
“Lagu ini bercerita dan memberi nasihat kepada pasangan yang baru berkahwin. Jadi saya kena main dengan emosi… ada masa kena lembut, tegas, tapi dalam nada gurau senda. Rentaknya pun laju, jadi kena seimbang antara tenaga dan kelembutan,” katanya.
Pemenang tiga kali Penyanyi Wanita Popular Anugerah Bintang Popular Berita Harian itu turut meluahkan hasrat untuk menghasilkan album penuh irama Malaysia sekiranya single tersebut mendapat sambutan positif daripada peminat.
pic-5
“Kalau dulu Nana duet, sekarang Nana nak (album) solo.(Tapi) Kita tengok dulu macam mana penerimaan orang-orang muda sekarang,” katanya.
Lagu Ahai kini boleh didengar di semua platform penstriman digital sementara video muzik rasmi boleh ditonton di saluran YouTube Seventeen Eleven Music.
-- BERNAMA