KUALA LUMPUR, 7 Nov (Bernama) -- Pemain negara Izzat Shameer Dzulkeple dan Soufi Rusli mara ke suku akhir dalam acara singles lelaki pada Kejohanan Boling Padang Piala Dunia 2025 di Stadium Juara, Bukit Kiara hari ini.
Izzat Shameer mara selepas berjaya menjadi juara Kumpulan 4 dengan mencatat empat kemenangan daripada lima perlawanan, manakala Soufi menamatkan saingan di tempat kedua kumpulan selepas menang tiga daripada lima perlawanan.
Izzat Shameer yang gembira dengan kejayaan itu berkata beliau sedar tugasnya masih belum selesai.
“Sasaran kami masih belum tercapai kerana masuk suku akhir belum dijanjikan pingat. Jadi, saya dan rakan sepasukan akan cuba untuk layak ke separuh akhir dan meraih pingat,” katanya.
Sementara itu, hasrat gandingan negara Emma Firyana Saroji-Nurul Alyani Jamil untuk mara dalam acara pairs wanita terkubur selepas menamatkan saingan peringkat kumpulan di tempat kelima.
Pasangan negara itu sekadar mencatat satu kemenangan daripada lima perlawanan dalam acara berkenaan.
-- BERNAMA