AM

Projek PTJSD: Pengguna Lebuh Raya Lega Kesesakan Juru–Sungai Dua Bakal Berakhir

08/11/2025 04:02 PM

BUKIT MERTAJAM, 8 Nov (Bernama) -- Pengguna lebuh raya dan penduduk sekitar yakin pelaksanaan projek penyuraian trafik di antara Plaza Tol Juru dengan Plaza Tol Sungai Dua (PTJSD) di sini, bakal memberikan banyak manfaat, khususnya mengurangkan kesesakan lalu lintas dan meningkatkan keselesaan pemanduan.

Rata-rata mereka berharap infrastruktur yang akan dinaik taraf dan dirasmikan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini akan membawa manfaat nyata dalam aktiviti harian mereka, terutama pekerja yang berulang-alik menggunakan lebuh raya terbabit hampir setiap hari.

Seorang penjawat awam, Hafizah Ahmad, 48, yang tinggal di Bertam, Kepala Batas berkata projek itu amat dinanti-nantikan kerana dapat mengurangkan kesesakan di laluan berkenaan yang semakin serius sejak beberapa tahun belakangan ini, terutamanya pada waktu puncak.

“Setiap hari saya melalui laluan itu untuk ke tempat kerja di Butterworth. Kadang-kadang saya terpaksa menggunakan Lebuhraya Lingkaran Luar Butterworth (BORR) untuk elak kesesakan. Projek ini pasti dapat menyelesaikan masalah tersebut dan melegakan ramai pengguna.

“Projek ini bukan sahaja akan memanfaatkan penduduk di Seberang Perai yang bekerja di bahagian pulau, malah pengguna lebuh raya yang menuju ke utara atau selatan turut dapat menikmati perjalanan lebih lancar,” katanya kepada Bernama.

Seorang lagi pengguna lebuh raya, Kenny Khor, 44, turut menyambut baik projek itu yang menurutnya mampu memisahkan laluan pengguna lebuh raya dengan laluan tempatan bagi mengurangkan kesesakan.

Khor yang tinggal di Sungai Petani, Kedah dan menjalankan urusan perniagaan di Pulau Pinang berkata dia sering terperangkap dalam kesesakan jalan raya bukan sahaja ketika hari bekerja, malah pada musim perayaan di kawasan berkenaan.

“Sekarang ini semua kenderaan berkongsi laluan yang sama, tidak kira untuk perjalanan jauh ke utara atau selatan atau tempatan. Apabila projek ini siap, aliran trafik akan lebih tersusun, masa perjalanan berkurang dan pengguna pun lebih selesa,” katanya.

Bagi seorang pesara, Ali Akbar Abdul Razak, 65, dari Butterworth, pelaksanaan projek itu tetap menggembirakan kerana dia masih kerap berulang-alik ke rumah anak-anaknya di bahagian pulau walaupun sudah bersara.

“Saya rasa projek penyuraian trafik ini akan beri banyak manfaat kepada semua yang berulang-alik di laluan tersebut kerana setiap hari tersangkut dalam kesesakan dan saya sendiri teruja dengan projek penyuraian trafik ini kerana perjalanan akan jadi lebih mudah dan cepat,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Pengangkutan dan Digital Pulau Pinang Zairil Khir Johari berkata kerajaan negeri menyambut baik pelaksanaan PTJSD, khususnya sejak sekian lama rakyat berdepan dengan kesesakan berpanjangan antara Tol Sungai Juru dengan Tol Sungai Dua.

Beliau menjelaskan projek itu akan memisahkan trafik laluan terus daripada trafik tempatan, sekali gus mengurangkan pertembungan kenderaan yang menjadi punca utama kesesakan, dan pembinaan lorong ekspres khas serta susur keluar berasingan juga akan memastikan perjalanan lebih lancar, cepat dan selamat.

“Kerajaan negeri melihat projek itu sebagai satu peningkatan besar kepada rangkaian jalan raya kita dan yakin projek ini akan memberikan manfaat langsung kepada rakyat melalui aliran trafik yang lebih teratur serta pengalaman perjalanan yang lebih selesa setiap hari,” katanya.

Pada 21 Okt lepas, PLUS Malaysia Bhd (PLUS) mengumumkan bahawa Pakej 1 bagi PTJSD telah dimulakan dengan kerja-kerja menaik taraf bulatan di Persimpangan Bertingkat Timur–Barat (Lebuhraya Butterworth–Kulim), iaitu Kilometer (KM) 135.15 hingga KM135.4, dan pembinaan jejambat baharu di Jalan Tun Hussein Onn (KM133.5 hingga KM134.5) akan dilaksanakan selama 24 bulan.

Secara keseluruhannya, projek PTJSD itu ialah projek berimpak tinggi dan akan memberikan manfaat kepada kira-kira 200,000 pengguna harian melalui pengurangan kesesakan di laluan berkenaan.

PTJSD juga akan menyokong agenda pembangunan seimbang wilayah Utara serta memperkukuh rangkaian logistik nasional, merancakkan pertumbuhan ekonomi di Seberang Perai, Kepala Batas dan utara Pulau Pinang sekali gus menyediakan peluang pekerjaan serta limpahan ekonomi kepada rakyat tempatan.

Projek itu antara beberapa inisiatif utama untuk Pulau Pinang dan utara semenanjung yang diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam Belanjawan 2025 pada 18 Okt tahun lepas, selain Transit Aliran Ringan (LRT) Pulau Pinang, pembesaran Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (LTAPP) dan Taman Perindustrian Batu Kawan 3.

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2488532