SUKAN

WWC Akur Keluarkan Kategori Junior

08/11/2025 09:32 PM

KUALA LUMPUR, 8 Nov (Bernama) -- Penganjur Warzone World Championship (WWC) sah tidak menyenaraikan kategori Junior bagi mematuhi pekeliling baharu Kementerian Belia dan Sukan (KBS) yang tidak membenarkan atlet di bawah 15 tahun menyertai pertandingan sukan tempur.

Penganjur acara sukan tempur itu, Yusuf Azmi berkata pihaknya telah menghantar surat rasmi kepada Pesuruhjaya Sukan (PJS) untuk tujuan pendaftaran selain mengharapkan permohonan penganjuran dijadualkan pada 6 dan 7 Dis itu berjalan lancar sekali gus mendapat kelulusan dalam masa terdekat.

"Untuk makluman, WWC pada awalnya mempunyai kategori khas (Junior) itu yang tidak melibatkan perlawanan fizikal berisiko tinggi, sebaliknya memberi tumpuan kepada aspek seni, teknik dan disiplin bela diri. Penilaian berdasarkan kemahiran teknikal, disiplin dan etika sukan, bukan kemenangan dalam perlawanan.

"Kami ingin menegaskan bahawa WWC menolak sebarang bentuk eksploitasi atau pendedahan berlebihan terhadap kanak-kanak dalam aktiviti berisiko," katanya kepada pemberita dalam sidang media hari ini.

Semalam, Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh menegaskan bahawa semua penganjur acara sukan tempur dilarang melibatkan atlet bawah umur 15 tahun dalam acara sentuhan penuh tanpa pelindung keselamatan dan perlu mengikut peraturan badan pengelola kebangsaan masing-masing.

Hannah berkata penyertaan atlet bawah 15 tahun bagi sukan tempur seperti MMA, Muay Thai, kickboxing dan tinju hanya dibenarkan dalam kejohanan rasmi anjuran persatuan sukan kebangsaan atau persatuan sukan negeri yang berdaftar di bawah Akta Pembangunan Sukan 1997.

KBS sebelum ini mengesahkan bahawa kejohanan WWC tidak mendapat kelulusan untuk dianjurkan.

Sehubungan itu, penganjur WWC diberikan tempoh 30 hari untuk mengemukakan permohonan rasmi.

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2488635