AM

Anwar Serah Bantuan Kepada Keluarga Terjejas Tanah Runtuh Di Putatan, Sabah

09/11/2025 02:44 PM

KUALA LUMPUR, 9 Nov (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini menyerahkan sumbangan kepada keluarga Melvin Funk yang terjejas akibat insiden tanah runtuh di Kampung Duvanson, Putatan, Sabah, semalam.

Bantuan awal berbentuk wang tunai itu disampaikan Setiausaha Politik Perdana Menteri Datuk Ahmad Farhan Fauzi, ketika meninjau tapak kejadian.

"Saya dan Tuan Awang Husaini, yang juga pemimpin masyarakat setempat, meninjau bersama Unit Penyelarasan Perlaksanaan (ICU) Sabah bagi menilai tindakan segera yang wajar diambil. Saya turut menyampaikan sumbangan tunai Perdana Menteri sebagai bantuan awal.

"Syukur, tiada nyawa terkorban, namun kesannya cukup mendalam bagi keluarga ini," kata Ahmad Farhan menerusi hantaran di Facebook hari ini yang turut dikongsi Anwar.

Beliau berkata rumah yang dibina hasil titik peluh dan simpanan keluarga selama beberapa tahun itu musnah dalam sekelip mata apabila runtuhan tanah berlaku kira-kira pukul 10 malam.

Menurut Ahmad Farhan, ketika kejadian empat beranak itu berada di dalam rumah dan sempat melarikan diri selepas terasa gegaran serta mendengar bunyi kuat dari arah belakang rumah.

"Semoga keluarga ini terus tabah dan diberikan kekuatan untuk menghadapi ujian ini,” katanya.

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2488784