JENAYAH & MAHKAMAH

JKDM Terengganu Gagalkan Cubaan Edar Rokok Seludup

09/11/2025 04:18 PM

CHUKAI, 9 Nov (Bernama) -- Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Terengganu menggagalkan cubaan mengedar rokok seludup menyaksikan nilai rampasan termasuk duti dan cukai dianggarkan RM319,228.80.

Pengarahnya Hasbollah Din berkata rampasan menerusi Ops Macan Legit 2 itu dijalankan hasil serbuan ke atas sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Toyota Vellfire yang ditinggalkan di tepi jalan di Nyior Mawar di Kampung Dusun Nyior dekat sini pada 6 Ogos lepas.

“Sepasukan anggota Unit Marin, Cawangan Penguatkuasaan Kemaman, JKDM Terengganu telah menjalankan intipan selama 40 minit berhubung kenderaan yang ditinggalkan itu.

“Hasil intipan mendapati tiada sebarang pergerakan dikesan. Pasukan kita kemudian menyerbu MPV berkenaan dan menemukan 352,800 batang rokok putih (seludup) pelbagai jenama dianggarkan bernilai RM78,528 dan jumlah duti serta cukai sebanyak RM240,700.80,” katanya pada sidang media di sini hari ini.

MPV itu berserta muatannya telah disita bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 135 (1)(d) Akta Kastam 1967. 

Hasbollah percaya rokok putih yang dirampas berkenaan dibawa masuk dari luar Terengganu untuk diedarkan bagi pasaran tempatan.

Bagaimanapun, pihaknya masih mengenal pasti pemilik MPV yang dipercayai menggunakan nombor pendaftaran palsu.

“Modus operandi adalah dengan menyimpan rokok-rokok yang tidak lulus Kastam di dalam kenderaan mewah sebelum mengedarkannya bagi mengaburi mata pihak berkuasa," katanya.

 -- BERNAMA

 

 

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2488819