AM

Tindakan Punitif Terhadap Israel, Peruntukan Sekolah Agama Tumpuan Dewan Rakyat Hari Ini

10/11/2025 08:49 AM

KUALA LUMPUR, 10 Nov (Bernama) -- Perkembangan pelaksanaan langkah punitif terhadap Israel, serta peruntukan kepada sekolah agama bagi 2025 antara tumpuan persidangan Dewan Rakyat hari ini.

Menurut Aturan Urusan Mesyuarat di laman rasmi Parlimen pada sesi soal jawab, Datuk Seri Dr Ronald Kiandee (PN-Beluran) meminta Menteri Luar menyatakan langkah konkrit yang diambil susulan gesaan Malaysia pada Sidang Kemuncak Arab-Islam di Qatar baru-baru ini supaya tindakan punitif dikenakan terhadap Isreal.

Beliau juga ingin mengetahui sama ada gesaan itu turut merangkumi hubungan tidak langsung entiti Malaysia dan Israel melalui rantaian bekalan teknologi, perdagangan pihak ketiga atau kerjasama dalam sektor keselamatan dan siber.

Pada sesi sama, Datuk Ahmad Saad @ Yahaya (PN-Pokok Sena) mengajukan soalan kepada Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berhubung jumlah bantuan serta peruntukan yang telah disalurkan kepada sekolah agama rakyat bagi tahun ini.

Datuk Suhaimi Nasir (BN-Libaran) pula meminta Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan menyatakan program ekonomi baharu untuk anak muda Sabah khususnya dalam bidang ekonomi digital, usahawan tani dan perikanan moden agar mereka tidak hanya bergantung kepada pekerjaan bergaji rendah. 

Soalan berhubung tahap keterjaminan makanan negara sekiranya berlaku sekatan import makanan serta strategi kementerian bagi memastikan Malaysia mampu berdikari, dibangkitkan Aminolhuda Hassan (PH-Sri Gading) kepada Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan.

Sementara itu, Datuk Seri Jalaluddin Alias (BN-Jelebu) bertanya kepada Menteri Belia dan Sukan mengenai dasar terhadap perkembangan pesat e-sukan dan langkah menjadikan ia sebagai sumber ekonomi negara berbanding sebagai hiburan belia. 

Selain itu, Rang Undang-Undang Pembangunan Kemahiran Kebangsaan (Pindaan) 2025 dan Rang Undang-Undang Tabung Pembangunan Kemahiran (Pindaan) 2025 juga dijadualkan dibentang bagi bacaan kali pertama, hari ini.

Mesyuarat Dewan Rakyat kemudian diteruskan dengan perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan (Belanjawan) 2026 pada peringkat jawatankuasa bagi kementerian-kementerian terlibat.

Mesyuarat Ketiga Penggal Keempat Parlimen ke-15 Dewan Rakyat berlangsung selama 35 hari hingga 4 Dis ini. 

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2488933