EKONOMI

Dewan Rakyat Lulus Peruntukan Belanjawan 2026 Peringkat Jawatankuasa Bagi Tiga Kementerian

10/11/2025 09:37 PM

KUALA LUMPUR, 10 Nov (Bernama) -- Persidangan Dewan Rakyat hari ini meluluskan Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan (Belanjawan) 2026 peringkat jawatankuasa bagi Kementerian Ekonomi, Kementerian Perladangan dan Komoditi (KPK) serta kementerian Perpaduan Negara,

RUU Perbekalan (Belanjawan) 2026 bagi ketiga-tiga kementerian itu diluluskan selepas mendapat lebih suara bersetuju.

Kementerian Ekonomi menerima peruntukan berjumlah RM2.75 bilion pada tahun hadapan, dan angka itu mencerminkan komitmen berterusan kerajaan dalam memacu agenda pembangunan negara terutama 2026 sebagai tahun pertama pelaksanaan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13).

Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan yang juga menjalankan tugas dan fungsi Menteri Ekonomi berkata berdasarkan buku Belanjawan 2026, peruntukan perbelanjaan pembangunan Kementerian Ekonomi adalah sebanyak RM2.115 bilion. 

"Angka ini menunjukkan peningkatan sebanyak RM890.56 juta (72.7 peratus) bagi 2026 berbanding peruntukan dipinda pada 2025,” katanya ketika menggulung RUU Perbekalan 2026 bagi Kementerian Ekonomi.

Dewan Rakyat juga meluluskan RUU Perbekalan 2026 peringkat jawatankuasa bagi Kementerian Perladangan dan Komoditi (KPK) dengan perbelanjaan mengurus RM477.82 juta.

Angka itu menjadi sebahagian daripada anggaran perbelanjaan.

Dewan Rakyat turut meluluskan anggaran perbelanjaan mengurus dan perbelanjaan pembangunan berjumlah RM767.99 juta bagi Kementerian Perpaduan Negara.

Persidangan bersambung esok.

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2489292