RENCANA

Sempadan Kelantan-Thailand: Ancaman Dalaman, Cabaran Geografi Dan Tuntutan Kuasa Maritim

11/11/2025 10:15 AM
Daripada Muhammad Afiq Mohd Asri

Sempadan Malaysia-Thailand di Kelantan bukan sekadar garis pemisah dua negara, tetapi menjadi medan ujian terhadap keutuhan kawalan keselamatan, integriti pegawai dan kecekapan agensi penguat kuasa dalam menangani penyeludupan serta jenayah rentas sempadan sama ada di darat ataupun di laut.

Walaupun penguatkuasaan diperkukuh secara berterusan dan semua pangkalan haram di sepanjang Sungai Golok diisytiharkan ditutup, cabaran sebenar bukan hanya datang dari luar, tetapi juga dari dalam yang turut membabitkan segelintir penguat kuasa yang rupa-rupanya musang berbulu ayam.

Isu termasuk ‘mengatur pangkalan’ - gerakan pihak tertentu misalnya kumpulan bersenjata, penjenayah atau pengganas yang cuba menubuhkan pangkalan operasi di kawasan tertentu - dan salah guna kuasa oleh segelintir pegawai serta anggota penguat kuasa. 

Perkara itu diakui sendiri oleh Ketua Polis Kelantan Datuk Mohd Yusoff Mamat yang berkata polis memiliki maklumat awal berhubung kegiatan mengatur pangkalan yang dipercayai dilakukan individu bersekongkol dengan sindiket rentas sempadan.

“Saya beri amaran awal, kami akan ambil tindakan tanpa kompromi, tidak kira siapa pun anggota Pasukan Gerakan Am (PGA) atau orang awam. Mereka ini pengkhianat negara,” katanya ketika ditemui Bernama di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kelantan baru-baru ini.

Kegiatan itu amat membimbangkan kerana pada Julai lalu, seorang pegawai penguat kuasa ditahan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dipercayai terbabit dalam kegiatan ‘mengatur kaunter’, iaitu membawa masuk warga asing tanpa dokumen sah melalui kerjasama dengan sindiket.

Jika kegiatan seumpama itu mampu menembusi sistem keselamatan berteknologi tinggi di KLIA yang mempunyai kamera litar tertutup (CCTV) yang ketat, maka kawasan sempadan yang luas dan terbuka seperti Sungai Golok jauh lebih terdedah kepada pencerobohan.

Kawasan sempadan seperti Sungai Golok mempunyai jajaran yang panjang, terbuka dan berisiko tinggi, dengan sebahagian besar melibatkan kawasan air, kampung, kebun dan laluan tidak rasmi yang sukar dipantau sepenuhnya oleh pasukan keselamatan.

 

GEOGRAFI YANG MENGUJI KEUPAYAAN KAWALAN

Sempadan Malaysia-Thailand di Kelantan mempunyai tiga pintu masuk rasmi di bawah Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS), iaitu Rantau Panjang, Bukit Bunga dan Pengkalan Kubor. 

Sempadan ini juga membentuk sebahagian daripada sempadan darat sepanjang 551 kilometer (km), dengan 95 km lagi ialah sempadan sungai di sepanjang Sungai Golok. 


Daripada keseluruhan 163 km sempadan Kelantan-Thailand, kira-kira 91 km melibatkan kawasan air, sekali gus menuntut pendekatan berbeza mengikut bentuk muka bumi.

Sungai Golok di Rantau Panjang, Pasir Mas menjadi antara laluan paling mencabar untuk dikawal. Ketika ini, sebanyak 17 pos PGA mengawal sepanjang 45 km laluan sungai dengan setiap pos bertanggungjawab terhadap kawasan sejauh kira-kira dua kilometer.

“Bukan mudah mengawal keseluruhan sungai ini kerana terdapat banyak lorong tikus, terutama di kawasan hutan Tanah Merah dan Jeli. Kadang-kadang penyeludup di kedua-dua negara hanya tunggu peluang, bila nampak anggota tiada, mereka lintas guna perahu kecil,” kata Mohd Yusoff.

Penguatkuasaan bertambah sukar disebabkan paras air Sungai Golok berubah mengikut musim, sekali gus dimanfaatkan oleh penyeludup yang arif dengan laluan setempat.

Misalnya, pada musim kemarau, air sungai menjadi cetek dan sempit, menyebabkan sungai boleh dilalui dengan berjalan kaki tanpa perlu menggunakan bot, terutama di kawasan cetek berhampiran kebun atau kampung sempadan.

Sebaliknya, pada musim banjir, limpahan Sungai Golok menyebabkan keadaan sungai menjadi lebar berbanding kebiasaan sehingga menenggelamkan garisan sempadan sebenar. Ia menyebabkan pergerakan keluar masuk penyeludup menjadi lebih mudah dengan hanya menggunakan bot kecil kerana tiada lagi halangan semula jadi yang membezakan sempadan kedua-dua negara.

 Arus sungai yang deras juga menyukarkan penguatkuasaan kerana operasi rondaan menggunakan bot menjadi terhad dan kurang berkesan, selain terdapat anggota penguat kuasa yang terbabit dalam membantu mangsa banjir atau menjadi mangsa banjir.

Keadaan-keadaan tersebut menyebabkan pihak berkuasa berdepan cabaran besar untuk menentukan dan mengawal laluan sebenar sempadan sekali gus meningkatkan risiko aktiviti penyeludupan dan pencerobohan ketika paras air berubah.

Disebabkan itu, Mohd Yusoff berkata kerja-kerja perobohan 233 pangkalan haram yang menjadi laluan kegiatan penyeludupan dari Pengkalan Kubur hingga Jeli bermula sejak 28 Okt lepas - dijangka memakan masa dua bulan - menjadi langkah awal ke arah melaksanakan perubahan menyeluruh terhadap kawalan keselamatan di kawasan sempadan Malaysia-Thailand khususnya di Kelantan.

 

LARANGAN RENTAS SEMPADAN DAN IMPAKNYA

Susulan penguatkuasaan larangan merentas sempadan melalui pangkalan haram yang berkuat kuasa sejak 1 Dis tahun lepas, tahap keselamatan dilihat semakin terkawal hasil pemantauan harian oleh Cawangan Khas.

Menurut Mohd Yusoff, hasil kerjasama erat dengan pihak berkuasa Thailand menyaksikan penurunan hampir 90 peratus kemasukan rakyat Malaysia secara haram ke negara jiran, manakala aktiviti pusat hiburan dan perniagaan di Sungai Golok menurun hingga 85 peratus. 


Sungai Golok di Rantau Panjang, Pasir Mas menjadi antara laluan paling mencabar untuk dikawal.

Anak-anak muda di Kelantan dilaporkan kerap memasuki Thailand, khususnya ke kawasan Sungai Golok dan Tak Bai di wilayah Narathiwat yang menawarkan pusat hiburan, urutan, makanan dan barangan pada harga lebih murah berbanding di Malaysia.

Ketiadaan pusat hiburan seumpama itu di Kelantan menyebabkan kawasan sempadan Thailand menjadi tumpuan utama pada hujung minggu, terutama bagi golongan muda yang mencari hiburan.

Selain itu, aktiviti penyeludupan di sempadan Kelantan-Thailand berlaku dalam dua hala melibatkan rakyat kedua-dua negara. Rakyat Malaysia cenderung membawa masuk barangan murah, makanan dan produk kecantikan dari Thailand manakala warga Thai pula sering menyeludup barang kawalan seperti diesel, minyak masak, gula dan beras dari Malaysia untuk dijual semula dengan harga lebih tinggi di negara mereka.

Perbezaan harga, kadar cukai dan permintaan pasaran di kedua-dua belah sempadan menjadi faktor utama yang mendorong kegiatan ini terus berlaku, meskipun kawalan keselamatan dan rondaan diperketatkan.

Bagaimanapun, rakyat Malaysia boleh ditahan dan disiasat di bawah Seksyen 5 (2) Akta Imigresen 1959/1963 kerana  ke Thailand menggunakan jalan tidak diwartakan.

Penguatkuasaan larangan merentas sempadan melalui pangkalan haram tersebut menunjukkan impak positif apabila sepanjang Januari hingga September tahun ini, polis merekodkan 1,335 kes rampasan kontraban bernilai lebih RM275 juta dan 62 kes jenayah rentas sempadan dengan 104 individu ditahan kerana cuba memasuki Thailand tanpa kebenaran. 

 (Kontraban merujuk kepada barangan larangan yang dibawa masuk atau keluar dari negara tanpa kebenaran undang-undang, termasuk rokok dan minuman keras tanpa cukai, dadah, senjata api, barang kawalan seperti minyak masak dan diesel serta haiwan atau tumbuhan dilindungi.)

Namun, Mohd Yusoff menegaskan bahawa penguatkuasaan semata-mata belum mencukupi tanpa sokongan infrastruktur kawalan fizikal yang kukuh.

 

TEMBOK KESELAMATAN: DARIPADA CADANGAN KEPADA KEPERLUAN STRATEGIK

Cadangan pembinaan tembok keselamatan di sepanjang Sungai Golok tidak lagi harus dianggap sekadar idea baharu, sebaliknya perlu dipertimbang sebagai keperluan strategik.

Menurut Mohd Yusoff, bentuk muka bumi yang sempit dan cetek di sepanjang Sungai Golok menjadikan kawalan konvensional walaupun dibantu dron, CCTV dan sistem pengawasan automatik (merujuk teknologi pemantauan yang beroperasi secara automatik tanpa perlu kawalan manusia secara berterusan) tetap sukar tanpa struktur fizikal yang mampu membatasi pergerakan penyeludup.


Penguatkuasaan bertambah sukar disebabkan paras air Sungai Golok berubah mengikut musim, sekali gus dimanfaatkan oleh penyeludup yang arif dengan laluan setempat.

“Oleh sebab itu saya cadangkan kerajaan mempercepat pembinaan tembok atau pagar keselamatan di sepanjang zon penampan sungai. Langkah ini bukan hanya soal keselamatan, tetapi mempertahankan kedaulatan negara,” katanya.

Tambah beliau,  pembinaan tembok itu berfungsi dua dalam satu, sebagai benteng keselamatan dan juga tebatan banjir bagi mengekang limpahan Sungai Golok setiap musim tengkujuh.

Daripada keseluruhan 163 km sempadan Kelantan-Thailand, kira-kira 91 km melibatkan kawasan air, sekali gus menuntut pendekatan berbeza mengikut bentuk muka bumi.

Sebagai contoh, di kawasan berpaya atau berair, pihak berkuasa perlu menggunakan bot rondaan, dron pengawasan, kamera peninjau jarak jauh dan rondaan bersama pasukan PGA bagi memantau pergerakan keluar masuk, manakala di kawasan darat atau berbukit, pembinaan pagar sempadan, laluan kawalan dan rondaan berkala lebih sesuai digunakan bagi mengekang kegiatan penyeludupan dan jenayah rentas sempadan.

Dalam masa sama, projek tebatan banjir yang dijalankan di sepanjang Sungai Golok bukan sahaja berfungsi mengurangkan risiko banjir, malah membantu memperkukuh kawalan sempadan dengan mewujudkan tebing konkrit, laluan penyelenggaraan dan sistem pemantauan yang lebih jelas di antara kedua-dua negara.

Mohd Yusoff berkata kerajaan telah meluluskan peruntukan sebanyak RM1.5 bilion bagi pembinaan tembok keselamatan di sempadan Malaysia-Thailand di Kelantan dan perkara itu dimaklumkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) baru-baru ini.

Tambahnya tembok keselamatan itu akan dibina di sepanjang sempadan dari Tumpat ke Tanah Merah, dan pelaksanaan projek ini dijangka dilakukan dalam masa terdekat.

 

INTEGRITI DAN MASA DEPAN KESELAMATAN SEMPADAN

Selain kekuatan aset dan operasi, aspek integriti dalam kalangan pegawai penguat kuasa kekal menjadi tunjang kepada keberkesanan kawalan sempadan.

Mohd Yusoff menegaskan hanya sebilangan kecil yang terlibat dalam salah laku, salah guna kuasa, rasuah atau kecuaian, namun pemantauan tetap dipertingkat termasuk cadangan penggunaan kamera badan bagi meningkatkan ketelusan operasi di lapangan.


Selain kekuatan aset dan operasi, aspek integriti dalam kalangan pegawai penguat kuasa kekal menjadi tunjang kepada keberkesanan kawalan sempadan.

"Dalam pasukan, tidak semua sama. Ada segelintir yang terlibat dengan aktiviti tidak sihat, tetapi jumlahnya kecil dan tindakan akan diambil kepada pegawai dan anggota yang terlibat,” katanya.

Sepanjang tahun ini, Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC) membongkar pelbagai salah laku serius, bukan hanya dalam kalangan anggota bawahan tetapi melibatkan pegawai kanan dan ketua jabatan dalam agensi penguatkuasaan utama di negara ini.

Antara kes disiasat ialah pemalsuan keputusan ujian saringan, kelulusan dokumen tanpa prosedur, pelepasan barangan terlarang secara tidak sah, kecuaian dalam pengurusan visa dan dokumen sensitif. 

 

KESELAMATAN MARITIM: CABARAN DI PINTU LAUTAN KELANTAN

Cabaran keselamatan di sempadan Kelantan tidak hanya tertumpu di darat malah ancaman turut merentasi pintu perairan negara yang menghadap Laut China Selatan dan sempadan Thailand.

Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) telah mengenal pasti 10 lokasi panas aktiviti penyeludupan terutama membabitkan pendatang tanpa izin dan rokok seludup, di sepanjang pesisir Pantai Geting hingga Tok Bali.

“Kawasan pesisir sepanjang lima kilometer berhampiran sempadan Malaysia-Thailand itu menjadi tumpuan penyeludup kerana dilindungi hutan dan semak tebal, sekali gus menyukarkan pengesanan udara dan darat,” kata Pengarah Maritim Kelantan Kepten Maritim Erwan Shah Soahdi.

Pada 13 Okt lepas, Maritim  Kelantan dengan kerjasama MKN telah melaksanakan operasi pemantauan sempadan di perairan Pengkalan Kubor, Tumpat.

Operasi selama tiga jam itu yang  disertai 27 pegawai dan anggota Maritim Malaysia serta MKN, dijalankan bagi memantau aktiviti penyeludupan, pencerobohan dan pelanggaran sempadan di tiga zon utama pengawasan maritim negeri ini, iaitu Laut China Selatan, Sungai Golok dan Sungai Geting.

Operasi bersepadu berkenaan turut menumpukan perhatian terhadap laluan keluar masuk bot nelayan tempatan dan asing, selain menilai keberkesanan rondaan sedia ada di kawasan berisiko tinggi berhampiran sempadan Thailand.

 

TAKTIK PENYELUDUP SEMAKIN LICIK

Mengulas lanjut, Erwan Shah berkata taktik penyeludup kini semakin kompleks dengan penglibatan tonto, iaitu orang tengah yang ditempatkan di sekitar Pulau Tengkorak berhampiran Pantai Geting bagi memantau pergerakan pihak berkuasa.

“Mereka memantau dari jauh dan memberi isyarat kepada penyeludup sebelum rondaan tiba. Ini antara cabaran terbesar kerana jaringan mereka sangat tersusun,” katanya.

Sindiket juga dilapor menggunakan bot laju bersaiz kecil untuk menghantar barangan seludup yang mampu mendarat di Geting, Tumpat dan Tok Bali, Pasir Puteh, sebelum kembali ke perairan Thailand hanya dalam masa beberapa minit, menyebabkan pihak berkuasa sukar mengesan atau mengejar mereka secara manual.

Malah, pihak berkuasa turut mengesan sindiket penyeludupan di kawasan Sungai Golok yang mengubah modus operandi dengan menggunakan tali untuk menarik bot pada waktu malam bagi menyeludup barangan kawalan ke negara jiran.

Taktik itu digunakan bagi mengelakkan bunyi bot dikesan pihak berkuasa khususnya ketika musim kemarau apabila paras air Sungai Golok menjadi cetek.

 

TEKNOLOGI DAN INFRASTRUKTUR: MENUTUP JURANG PENGAWASAN

Sebagai langkah strategik, Erwan Shah berkata Maritim Kelantan mencadangkan pemasangan sistem radar Remote Sensored Site (RSS) Swasla di sepanjang pantai timur meliputi Terengganu dan Pahang bagi menutup jurang pengawasan di kawasan terpencil.

“Dengan sistem radar ini, pengesanan dapat dilakukan lebih awal bahkan sebelum bot penyeludup menghampiri pesisir. Kawasan seluas empat hektar di Pulau Tengkorak turut dikenal pasti sebagai lokasi strategik pembinaan Pos Maritim Pengkalan Kubor yang akan dibangunkan tahun depan,” katanya.

Pos baharu itu bakal berfungsi sebagai pusat operasi hadapan, sekali gus mempercepat masa tindak balas terhadap insiden di perairan Kelantan yang bersempadan dengan Tak Bai, selatan Thailand dan Laut China Selatan.

Cadangan ini juga sejajar dengan pembangunan Kompleks Maritim Tok Bali yang diumumkan dalam Belanjawan 2026, yang dilihat bakal memperkukuh kesiapsiagaan pasukan penguat kuasa dan sistem kawalan bersepadu maritim di Pantai Timur.

 

DARAT DAN LAUT: SATU GARIS PERTAHANAN

Walaupun aset laut dan udara Maritim Malaysia ditambah baik saban tahun, keluasan kawasan operasi dan faktor cuaca menjadikan setiap rondaan penuh risiko.

Perairan Kelantan merangkumi zon dari Sungai Golok hingga Tok Bali, termasuk sebahagian Laut China Selatan menjadikannya antara kawasan penguatkuasaan paling panjang dan terbuka di Semenanjung Malaysia.

“Perairan kita bukan hanya berdepan penyeludupan manusia dan rokok, tetapi juga pencerobohan bot nelayan asing. Justeru, aset radar dan pos baharu amat penting untuk memastikan kawalan berkesan,” kata Erwan Shah.

Sempadan darat di Sungai Golok dan sempadan laut di Laut China Selatan kini membentuk dua benteng utama yang saling melengkapi dalam mempertahankan kedaulatan negara.

Namun, sebagaimana ditegaskan oleh Ketua Polis Kelantan dan Pengarah Maritim negeri, ancaman sebenar tidak hanya datang dari luar tetapi juga dari dalam sistem sendiri, di mana integriti, disiplin dan kecekapan menjadi benteng terakhir keselamatan negara.

Pembinaan tembok keselamatan, pos maritim baharu dan sistem radar bersepadu bukan sekadar pelaburan dalam aset fizikal, tetapi simbol ketegasan Malaysia mempertahankan sempadannya di darat dan di laut, siang dan malam.

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2489321