ALOR SETAR, 11 Nov (Bernama) -- Projek naik taraf Loji Rawatan Air (LRA) Bukit Selambau di Sungai Petani berkemungkinan menjadi projek ‘gajah putih’ selepas mengalami kelewatan ketara.
Ketua Pembangkang Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah Bau Wong Bau Ek memberitahu projek berkenaan telah diberikan lanjutan masa (EOT) ketiga yang akan tamat pada 16 Nov ini.
“Dikatakan isu utama ialah penghantaran pam yang mungkin memerlukan masa sehingga enam bulan menyebabkan kelesuan kepada perkembangan projek,” katanya ketika sesi perbahasan Belanjawan Kedah 2026 pada Persidangan DUN di sini hari ini.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sidam itu berkata kerajaan negeri perlu memberi fokus dari segi peruntukan yang sewajarnya supaya masalah itu dapat diselesaikan, di samping turut menyediakan pelan alternatif bagi menyiapkan projek LRA itu dengan kadar segera.
“Ini penting kerana projek-projek ini adalah sebahagian daripada strategi untuk mewujudkan rizab air terawat yang lebih kukuh di negeri ini.
“Saya turut mengambil kesempatan dengan menekankan langkah meningkatkan kualiti air yang dibekalkan perlu seiring dengan kenaikan tarif air yang telah dikuatkuasakan baru-baru ini,” katanya.
Sementara itu, Bau Wong berkata keperluan rumah mampu milik (RMM) juga sangat penting di negeri itu khususnya untuk rakyat yang berpendapatan sederhana dan rendah, selain keperluan menampung peningkatan populasi pada masa kini.
“Mengikut statistik bilangan unit RMM bagi 2020 hingga 2025, mengikut kebenaran merancang di pihak berkuasa tempatan (PBT) menunjukkan tiada pembinaan dijalankan oleh 11 PBT di Kedah pada dua tahun terakhir (2024-2025) melainkan melalui Majlis Perbandaran Kulim iaitu pembinaan 112 unit,” katanya.
Beliau berkata pada 2025 pula, hanya tiga PBT merancang tanpa sebarang pembinaan RMM iaitu Majlis Perbandaran Sungai Petani dengan jumlah 271 unit, Majlis Perbandaran Kubang Pasu (72 unit) dan Majlis Bandaraya Alor Setar (42 unit).
“RMM perlu terus menjadi fokus belanjawan negeri kerana ia adalah asas penting dalam memastikan kesejahteraan sosial, pertumbuhan ekonomi dan pembangunan lestari di Kedah.
“Inisiatif ini bukan sekadar menyediakan tempat tinggal, malah menjadi pemangkin kepada pembangunan inklusif, stabil dan mampan di negeri ini,” katanya.
-- BERNAMA