Oleh Suraidah Roslan
SANDAKAN, 11 Nov (Bernama) -- Ahli Parlimen Sandakan Vivian Wong Shir Yee berkata beliau akan meneruskan usaha bagi mengatasi masalah gangguan bekalan air di kawasannya menerusi kerjasama dengan kerajaan negeri demi keselesaan dan kesejahteraan rakyat daerah itu.
Beliau berkata antara masalah yang sedang dan akan terus ditangani ialah tekanan air tidak stabil serta paip lama berusia lebih 30 tahun, yang perlu digantikan dengan paip baharu.
Vivian, yang diumumkan oleh DAP baru-baru ini sebagai calon bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Elopura pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17, berkata beliau sering membangkitkan isu itu di Parlimen.
“Apabila berlaku insiden paip pecah, ia akan menjejaskan seluruh Sandakan yang mempunyai kira-kira 500,000 penduduk,” katanya kepada Bernama.
Vivian berkata Jabatan Air Negeri Sabah (JANS) juga perlu menyediakan pelan jangka panjang lima atau 10 tahun bagi mengatasi masalah gangguan bekalan air dan memberi keyakinan kepada pelabur untuk datang ke Sandakan.
Beliau berkata pembinaan saluran paip tambahan juga perlu dipertimbang bagi memastikan bekalan air tidak terganggu ketika kerja-kerja penyelenggaraan atau pembaikan paip utama dijalankan.
“Kita tidak mahu setiap kali berlaku kebocoran paip, bekalan air terpaksa ditutup bagi membolehkan kerja-kerja membaik pulih dilakukan... jadi, kita perlukan langkah penyelesaian jangka panjang,” katanya.
Vivian berkata beliau turut dimaklumkan oleh JANS bahawa lima tangki berkapasiti besar akan ditempatkan di sepanjang laluan dari Loji Rawatan Air (LRA) Segaliud hingga ke bandar Sandakan bagi menambah baik sistem agihan air.
Mengulas mengenai masalah kebocoran paip di Taman Casa San Uno di sini, Vivian berkata kerja-kerja membaik pulih telah dijalankan sekali gus menyelesaikan masalah gangguan bekalan air sejak beberapa hari lepas.
Beliau berkata kajian juga sedang dilakukan bagi mengenal pasti punca air bertakung yang menjejaskan sebuah rumah di taman itu.
Seorang penduduk, Hafiz Jakiri, 35, berkata masalah kebocoran paip bawah tanah itu telah dilaporkan kepada JANS pada Mac 2024 namun lokasinya hanya dapat dikesan dan perbaiki selepas berlaku gangguan bekalan air di beberapa kawasan perumahan seperti Taman Mesra, Kampung Sim Sim dan Kebun Cina.
“Bayangkan sepanjang tempoh setahun ini, setiap malam kami terdengar bunyi air sungai yang deras namun tidak tahu dari mana puncanya.
“Apabila kerja membaik pulih dilakukan pada Jumaat lepas, kami agak terkejut melihat mendapan akibat kebocoran paip itu telah membentuk sebuah lubang yang besar di bawah stor rumah kami,” katanya.
Hafiz berkata beliau terpaksa membenarkan lantai stor rumahnya dirobohkan bagi membolehkan kerja-kerja membaiki kebocoran paip itu yang menjadi punca gangguan bekalan air di Sandakan.
Beliau berkata keluarganya kini hanya inginkan penjelasan daripada JANS berhubung kos membaiki lantai yang dirobohkan dan risiko keselamatan yang mungkin mereka hadapi sekiranya terus tinggal di rumah itu.
Hafiz, yang turut merakamkan penghargaan kepada Vivian atas keprihatinan dan bantuan yang diberikan dalam memperjuangkan suara penduduk yang terjejas, berharap JANS dapat menanggung kos pembaikan lantai itu.
-- BERNAMA