KUALA LUMPUR, 11 Nov (Bernama) -- Susulan pengumuman Thailand mengenai penggantungan semua perjanjian dengan Kemboja selepas letupan periuk api di sempadan mencederakan beberapa askarnya, Malaysia menegaskan komitmen untuk terus menyokong usaha proses damai antara kedua-dua negara.
Panglima Angkatan Tentera Jeneral Tan Sri Mohd Nizam Jaffar berkata pendirian Malaysia adalah memastikan proses damai itu tidak terganggu kerana ia penting bagi kestabilan serantau.
Beliau berkata proses itu sewajarnya diteruskan tanpa apa-apa gangguan kerana sebarang kelewatan boleh menyebabkan keadaan kembali seperti sebelum ini.
“Kami faham akan ada tempoh bertenang untuk memberi ruang kepada kedua-dua pihak menilai situasi semasa namun kami berharap perkara ini dapat diselesaikan secepat mungkin khususnya memandangkan pasukan Pemerhati ASEAN (AOT) bagi Thailand kini menghadiri mesyuarat Majlis Keselamatan Negara (NSC) Thailand.
“Diharapkan keputusan positif dapat dicapai agar proses damai ini dapat diteruskan dan objektifnya tercapai,” kata beliau ketika dihubungi.
Mohd Nizam berkata walaupun isu itu bersifat dua hala antara Thailand dan Kemboja, negara anggota ASEAN turut memikul tanggungjawab bersama untuk saling membantu.
Beliau berkata ketika ini, pasukan AOT tidak dibenarkan memasuki lokasi kejadian yang terletak kira-kira 40 kilometer dari sempadan kedua-dua negara.
“Sekiranya krisis serupa seperti sebelum ini berulang, kedua-dua pasukan AOT akan dipulangkan semula ke Phnom Penh dan Bangkok... buat masa ini, kebanyakan pelan di bawah perjanjian damai telah mula dilaksanakan termasuk kerja-kerja nyahperiuk api dan langkah lain yang berkaitan.
“Sekiranya proses ini digantung sementara, AOT akan menyusun semula kedudukan mereka dan meneruskan perbincangan dengan kedua-dua pihak bagi memastikan semua langkah dapat disambung semula,” katanya.
Terdahulu, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata Malaysia hanya bertindak sebagai penyelaras dalam rundingan damai antara Thailand dan Kemboja tanpa menetapkan sebarang syarat serta berperanan sebagai pemudah cara bagi memastikan proses rundingan berlangsung dengan lancar.
Semalam, media antarabangsa melaporkan bahawa Ketua Angkatan Tentera Thailand mengumumkan penggantungan semua perjanjian dengan Kemboja susulan insiden letupan periuk api di sempadan kedua-dua negara sekali gus meningkatkan semula ketegangan selepas berlaku pertempuran pada Julai lepas.
Empat anggota tentera Thailand dilaporkan cedera selepas periuk api jenis PMN-2 meletup ketika mereka melakukan rondaan di Wilayah Sisaket, dengan seorang daripadanya kehilangan kaki kanan.
Perjanjian Damai Kuala Lumpur telah ditandatangani oleh Perdana Menteri Thailand Anutin Charnvirakul dan Perdana Menteri Kemboja Hun Manet dengan disaksikan oleh Anwar dan Presiden Amerika Syarikat Donald Trump di luar Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 pada 26 Okt lepas.
Pada 28 Julai lepas, Anwar telah menganjurkan mesyuarat di Putrajaya antara Manet dan Pemangku Perdana Menteri Thailand Phumtham Wechayachai yang berjaya meredakan ketegangan di sepanjang sempadan kedua-dua negara melalui persetujuan untuk melaksanakan gencatan senjata.
Gencatan senjata itu, yang disifatkan sebagai satu pencapaian besar ASEAN, berjaya menghalang peningkatan konflik ketenteraan dan menjamin keselamatan ribuan orang awam.
-- BERNAMA