AM

Malaysia Hanya Menyelaras Rundingan Damai Thailand-Kemboja, Tidak Tetapkan Syarat - PM Anwar

11/11/2025 01:35 PM

KUALA LUMPUR, 11 Nov (Bernama) -- Malaysia hanya bertindak sebagai penyelaras dalam rundingan damai antara Thailand dan Kemboja tanpa menetapkan sebarang syarat, dengan keputusan sepenuhnya ditentukan oleh kedua-dua negara berkenaan, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau menegaskan Malaysia tidak pernah memaksa mana-mana pihak dalam proses perdamaian itu, sebaliknya berperanan sebagai pemudah cara bagi memastikan rundingan berlangsung dengan lancar.

“Kita hanya menyelaras. Saya masih ingat ketika memanggil kedua-dua perdana menteri (Thailand dan Kemboja), saya tegaskan bahawa keputusan adalah di tangan mereka. Malaysia hanya membantu menyelaras dan memohon agar perdamaian dicapai.

“Mereka yang menetapkan parameters, bukan kita yang meletakkan syarat. Kita tidak menentukan syarat rundingan damai itu. Malaysia hanya membantu menyelaras, dan persetujuan dicapai oleh kedua-dua pihak,” katanya pada sesi Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat hari ini.

Anwar menjawab soalan tambahan Datuk Seri Dr Shahidan Kassim (PN-Arau) yang bertanyakan mengenai tekanan daripada pihak tertentu yang mengkritik peranan Malaysia dalam rundingan damai tersebut.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata pandangan yang mempertikaikan peranan Malaysia perlu dilihat sebagai sebahagian daripada amalan demokrasi, kerana perbezaan pandangan juga berlaku dalam setiap negara.

“Dalam Malaysia ini pun ada perjanjian (yang kita buat) dan ada yang tidak bersetuju. Di Thailand pun begitu. Tetapi saya berunding dengan perdana menteri dan kerajaan. Kalau ada seorang bekas jeneral (Rangsi Kitiyansap) bangkitkan isu, itu hak dia,” katanya.

Anwar menegaskan walaupun terdapat kritikan daripada pihak tertentu, keyakinan negara terlibat terhadap peranan Malaysia dalam usaha perdamaian serantau tetap utuh.

“Kejayaan Malaysia juga mungkin dicemburui, kita tahu. Ada yang kurang senang mengapa negara kecil seperti Malaysia mendapat perhatian dunia?.

“Isu yang dibangkitkan sekarang berkaitan letupan periuk api di kawasan yang dikatakan melibatkan tentera Kemboja. Jadi sementara isu itu belum selesai, kita tangguhkan kelulusan, tetapi Thailand tidak mempertikai peranan kita,” katanya.

Beliau berkata Perdana Menteri Thailand tidak pernah mempersoalkan tanggungjawab Malaysia, sebaliknya meminta supaya Malaysia mendesak Kemboja mematuhi sepenuhnya rundingan damai berkenaan.

Sehubungan itu, Anwar berkata beliau telah mengarahkan Panglima Angkatan Tentera untuk mendapatkan laporan dan berunding semula bagi membantu menyelesaikan isu tersebut.

Malaysia, tegas Anwar, kekal komited terhadap usaha memastikan keamanan serantau kerana ketegangan di rantau ini turut memberi kesan kepada negara, lebih-lebih lagi Malaysia memegang peranan sebagai Pengerusi ASEAN sehingga Disember ini.

“Kalau tanya saya, saya doa biar selesai. Tidak ada sebab kita mahu pertikaian itu berpanjangan hanya untuk menunjukkan Perdana Menteri Malaysia gagal. Itu sikap yang sangat merugikan.

“Saya mahu keamanan. Kalau mereka bergaduh, kesannya kepada kita. Dan selagi Malaysia pengerusi ASEAN sehingga Disember ini, kedua-dua pihak masih berurusan dengan kita,” katanya.

Pada 26 Okt lepas, Kemboja dan Thailand menandatangani perjanjian damai di Kuala Lumpur yang disaksikan Presiden Amerika Syarikat Donald Trump dan Anwar.

Kedua-dua negara itu turut mencapai persetujuan gencatan senjata tanpa syarat pada 28 Julai dalam mesyuarat tiga hala yang dianjurkan Anwar selepas beberapa minggu ketegangan di sempadan.

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2489392