DUNIA

China Sedia Pergiat Kerjasama Siber Dengan Dunia

11/11/2025 04:25 PM

BEIJING, 11 Nov (Bernama-CMG) -- China menyatakan kesediaan bekerjasama dengan masyarakat antarabangsa untuk mempergiatkan pertukaran dalam ruang siber, menjaga keselamatan siber serta menggerakkan pembangunan internet yang inklusif dan memanfaatkan semua.

Jurucakap Kementerian Luar (MFA) Lin Jian berkata Sidang Kemuncak Wuzhen Persidangan Internet Dunia (WIC) yang mula diperkenalkan sejak 2014, telah menjadi platform utama untuk melakukan pertukaran berkaitan teknologi termaju dan mendorong tadbir urus global dalam kerjasama digital.

Sidang Kemuncak Wuzhen WIC 2025 berakhir di Wuzhen, provinsi Zhejiang pada Ahad, dengan menyaksikan penyertaan seramai 1,600 wakil dari lebih 130 negara dan wilayah.

Difahamkan, para peserta memfokuskan perbincangan berhubung tadbir urus internet di peringkat global.

Lin memaklumkan bahawa tahun ini menandakan ulang tahun ke-10 visi pembinaan komuniti berkongsi nasib di ruang siber yang disyorkan Presiden Xi Jinping.

Menerusi Kertas Konsep mengenai Inisiatif Tadbir Urus Global yang disiarkan baru-baru ini, China turut mengulangi keperluan mendesak untuk memperkasa kolaborasi antarabangsa membabitkan ruang siber dan kecerdasan buatan (AI).

Jurucakap itu menyatakan hasrat China untuk bergabung tenaga dengan semua pihak dalam usaha merapatkan jurang digital dalam ruang siber dan membina sistem tadbir urus internet global yang lebih adil dan munasabah.

--BERNAMA-CMG

 

 


 

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2489520