EKONOMI

Syarikat Malaysia Manfaatkan MIHAS@Shanghai Untuk Tembusi Pasaran China

09/11/2025 01:24 PM

Oleh Amanina Mohamad Yusof

SHANGHAI, 9 Nov (Bernama) -- Penyertaan syarikat Malaysia di Pameran Halal Antarabangsa Malaysia  di Shanghai (MIHAS@Shanghai) membuka peluang baharu kepada produk tempatan untuk menembusi pasaran halal China yang semakin berkembang pesat.

Antara syarikat yang mengambil bahagian termasuklah G&R Foods Sdn Bhd, Sirehemas Pharma Sdn Bhd dan Tech Food Ingredients Sdn Bhd, masing-masing membawa produk makanan dan minuman berasaskan cita rasa tempatan untuk pasaran antarabangsa.

Bagi G&R Foods Sdn Bhd yang beroperasi di Perak, syarikat keluarga berusia lebih 30 tahun itu kini menyasarkan untuk membawa muruku, snek tradisional masyarakat India ke pasaran China.

“Kami bermula kecil, menjual di pasar malam dan tepi jalan. Selepas menerima bantuan geran kerajaan untuk beli mesin dan memperluas pengeluaran, kami kini berada di pasar raya besar seperti 99 Speedmart, Lotus’s dan Giant.

“Kami juga telah mengeksport produk ke Australia, Dubai, Yaman, Jordan dan Singapura serta berharap dapat menembusi pasaran China pada akhir tahun ini,” kata Pengarah Urusannya, T. Gunalan kepada Bernama.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada MIHAS@Shanghai, yang diadakan bersempena Ekspo Import Antarabangsa China (CIIE) di Pusat Pameran dan Konvensyen Nasional (NECC) di sini.

CIIE ialah inisiatif kerajaan China menyediakan platform mengimport barangan dari luar negara sejajar dengan Inisiatif Jalur dan Laluan. Ini akan memberi impak positif dan peluang kepada pengeksport Malaysia berjumpa dengan pembeli China dari seluruh wilayah China.

Gunalan berkata penyertaan syarikat di MIHAS@Shanghai menjadi platform terbaik untuk memperkenalkan produk kepada pembeli antarabangsa selepas berjaya menarik minat tiga daripada enam pembeli premium yang ditemui pada pameran tersebut.

Pengarah Eksekutif yang juga Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Sirehemas Pharma Sdn Bhd Nik Juzailah Juhari berkata syarikat menjadikan MIHAS@Shanghai sebagai platform pertama mereka menyertai MIHAS pada peringkat antarabangsa bagi memperkenalkan produk makanan dan minuman berasaskan durian seperti kopi durian Musang King dan popcorn durian.

“Kami menyasarkan jualan sekurang-kurangnya RM2 juta pada penyertaan kali ini. Memasuki hari ketiga pameran, dua pembeli dari Mauritius dan Arab Saudi telah menunjukkan minat dengan potensi jualan kira-kira RM600,000,” katanya.

Menurut Nik Juzailah, produk mereka kini telah memasuki pasaran Kemboja, Indonesia, Singapura dan Qatar, selain turut menerima bantuan geran daripada Malaysian Technology Development Corporation (MTDC) di bawah Halal Technology Fund.

Bagi Tech Food Ingredients Sdn Bhd, penyertaan kali kedua di MIHAS memberi peluang untuk memperkenalkan pes durian dan pes gula melaka kepada pasaran China.

“Kami mahu tunjukkan kepada pembeli antarabangsa bahawa produk berasaskan durian Malaysia bukan sahaja berkualiti tinggi, malah mematuhi keperluan keselamatan makanan dan disahkan halal,” kata Ketua Pegawai Eksekutif syarikat R. Narendranath.

Menurutnya, produk syarikat kini berada di pasaran Arab Saudi, Hong Kong, Indonesia, Singapura dan Vietnam dan berharap dapat menembusi pasaran China tahun depan.

“Kami sudah lapan tahun di bawah bimbingan Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) dan ia sangat membantu dalam memperluas pasaran eksport kami,” katanya.

Penyertaan syarikat Malaysia di MIHAS@Shanghai turut memperlihatkan potensi besar produk halal tempatan di pasaran global, khususnya di China yang mempunyai populasi Muslim melebihi 20 juta orang.

MIHAS@Shanghai 2025 merupakan edisi kedua MIHAS pada peringkat antarabangsa dianjurkan MATRADE selepas kejayaan MIHAS@Dubai tahun lepas.

Sebanyak 250 syarikat Malaysia menyertai MIHAS@Shanghai yang berlangsung selama enam hari bermula Rabu lepas.

-- BERNAMA

KEYWORDS
        
RELATED NEWS
MORE NEWS
© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2488750