MELAKA, 11 Nov (Bernama) – Agenda menjadikan Melaka sebagai negeri pintar menjelang 2035 diterjemahkan melalui inovasi baharu dikenali sebagai Sistem Umum dan Analitik Rakyat (SUARA).
Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital negeri Datuk Fairul Nizam Roslan, berkata inisiatif itu bertujuan memastikan setiap keputusan dan dasar kerajaan berpaksikan data masa nyata serta keperluan komuniti setempat.
Katanya, SUARA merupakan platform tinjauan elektronik (e-survey) yang beroperasi melalui Pusat Kepintaran Data Negeri Melaka (MDIC).
"Ia boleh digunakan secara percuma oleh rakyat, agensi kerajaan, institusi pengajian tinggi (IPT), industri dan pihak berkuasa tempatan (PBT) bagi mengumpul maklum balas serta data berkaitan pembangunan setempat
"Data yang dikumpul akan disatukan, dianalisis dan diterjemahkan kepada tindakan yang memberi manfaat kepada rakyat,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Konvensyen Data Raya Negeri Melaka 2025, di Banda Hilir di sini hari ini.
Fairul Nizam berkata, penggunaan SUARA bukan sahaja membantu menilai keperluan pembangunan di kawasan perumahan atau kampung, malah membolehkan kerajaan membuat keputusan lebih tepat berkaitan penambahan kemudahan awam seperti sekolah, masjid, dan pusat komuniti.
Sistem itu juga memberi peluang kepada semua pihak untuk berkongsi data dan pandangan, dengan syarat berkolaborasi bersama Institut Tun Perak (ITP) dan Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN).
Tambah beliau, setakat ini SUARA digunakan bagi inisiatif pertama di bawah program Wakil Rakyat Untuk Rakyat (WRUR), dengan matlamat memperkukuh kecekapan pentadbiran serta perancangan pembangunan negeri.
Beliau menegaskan, semua agensi kerajaan, syarikat berkaitan kerajaan (GLC), institusi akademik, dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) digalakkan memanfaatkan platform SUARA secara bijaksana bagi membudayakan perkongsian dan penggunaan data di Melaka.
“Kita mahu budaya berkongsi dan menggunakan data ini secara bijak menjadi amalan dalam pentadbiran negeri supaya keputusan yang diambil benar-benar berpihak kepada rakyat," katanya.
-- BERNAMA