AM

DOSM Sasar Kerjasama Pemain Industri Selangor Lengkapkan Banci Ekonomi 2026

11/11/2025 04:46 PM

KLANG, 11 Nov (Bernama) -- Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) memerlukan kerjasama erat pemain industri di Selangor bagi menjamin pelaksanaan Banci Ekonomi 2026 (BE2026) yang melibatkan kira-kira 1.2 juta pertubuhan perniagaan di seluruh negara dapat dilaksanakan dengan lancar dan tepat.

Ketua Perangkawan Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata BE2026 akan bermula pada Februari tahun depan, dan Selangor dengan kira-kira 300,000 pertubuhan perniagaan berdaftar mempunyai peranan penting dalam dapatan banci tersebut.

"Selangor memainkan peranan penting dalam dapatan banci tersebut memandangkan negeri itu merekodkan kira-kira 300,000 pertubuhan perniagaan, iaitu jumlah tertinggi berbanding negeri lain dengan tumpuan terbesar berada di daerah Petaling.

"Negeri ini menyumbang lebih 26 peratus kepada nilai keseluruhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK), jadi data yang diperoleh melalui banci mencerminkan keadaan ekonomi negeri tersebut secara menyeluruh dan tepat," katanya pada sidang media di sini hari ini.

Terdahulu, Mohd Uzir bersama Exco Belia, Sukan dan Keusahawanan negeri Mohd Najwan Halimi meluncurkan Sesi Libat Urus BE2026 Bersama Pemegang Taruh Selangor yang dihadiri lebih 300 peserta terdiri daripada wakil kerajaan negeri, persatuan industri, pertubuhan perniagaan, usahawan dan agensi.

Mohd Uzir berkata dapatan bancian dapat membantu kerajaan negeri dan Persekutuan memahami struktur ekonomi semasa termasuk penggunaan teknologi dan automasi di tempat kerja, komposisi tenaga kerja mahir dan kurang mahir serta sektor yang memerlukan keutamaan pembangunan.

Beliau berkata data bancian juga akan menjadi asas kepada perancangan strategik ekonomi pada peringkat negeri dan nasional termasuk penyediaan latihan kemahiran, dasar pelaburan, pembangunan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) serta penambahbaikan ekosistem perniagaan.

Mengulas kerjasama industri, Mohd Uzir berkata sokongan dan keterbukaan syarikat dalam memberikan maklumat yang tepat amat penting bagi memastikan kualiti statistik yang dihasilkan memenuhi piawaian antarabangsa.

Beliau berkata DOSM telah memulakan siri jelajah libat urus di seluruh negeri dan mengedarkan bahan hebahan kepada persatuan perdagangan, agensi kerajaan dan pihak berkepentingan bagi memperluaskan pemahaman mengenai kepentingan banci tersebut.

“Perlu difahami bahawa maklumat yang dikumpulkan adalah bersifat agregat sektor dan bukan maklumat individu syarikat. DOSM tidak akan mendedahkan data syarikat tertentu seperti angka jualan atau keuntungan.

"Statistik hanya memaparkan data berdasarkan kategori industri, saiz syarikat dan kawasan termasuk sektor seperti tekstil, makanan, pembuatan perabot dan produk pertanian," katanya.

Dalam perkembangan sama, Mohd Uzir berkata kaedah bancian yang diguna pakai telah melalui proses penambahbaikan berterusan sepanjang lebih 70 tahun pelaksanaannya dan kini turut disokong sistem digital serta kaedah pengesahan menerusi perkongsian data dengan kerjasama agensi lain.

Sementara itu, berhubung sektor yang menjadi keutamaan negeri itu, Mohd Najwan memaklumkan Selangor memberi penekanan kepada tiga sektor berpotensi iaitu pembuatan, pembinaan dan perkhidmatan berdasarkan data terkumpul sedia ada hingga menjadikan Selangor penyumbang KDNK tertinggi dengan 26.2 peratus kepada ekonomi negara.

“Daripada data dikumpul sektor pembuatan menyumbang 5.1 peratus, diikuti pembinaan dan perkhidmatan masing-masing 13.2 dan 6.3 peratus. Oleh itu, data yang diperoleh akan digunakan untuk meningkatkan prestasi sektor tersebut, seterusnya menambah baik pertumbuhan ekonomi negeri.

"Kerajaan negeri kini memberi penekanan kepada pendekatan dasar berasaskan data, ia penting kerana ketepatan data akan mencerminkan realiti sebenar dan membantu merangka strategi pembangunan yang lebih berkesan," katanya.

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2489538