JENAYAH & MAHKAMAH

72 Anggota Polis Jalani Latihan "abseiling" Pertingkat Kecekapan

14/11/2025 03:04 PM

KUALA LUMPUR, 14 Nov (Bernama) -- Seramai 72 anggota dan pegawai polis dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur mengikuti latihan ‘abseiling’ atau ‘rappelling’ bagi memantapkan kecekapan taktikal serta semangat berpasukan dalam menghadapi pelbagai cabaran operasi.

Timbalan Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Mohd Azani Omar berkata latihan bermula Selasa lepas itu telah diadakan di Balai Bomba dan Penyelamat (BPP) Sri Petaling dengan kerjasama Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM).

"Ia lebih kepada untuk membina semangat berpasukan, keberanian, disiplin serta keyakinan diri yang menjadi teras kepada keunggulan dalam diri seorang pegawai polis itu sendiri.

“Kemahiran yang diperoleh amat penting dalam konteks operasi sebenar, terutamanya bagi tugasan khas seperti penyelamatan tebusan, operasi taktikal di kawasan tinggi, serta situasi kecemasan yang memerlukan tindakan pantas dan tepat,” katanya ketika berucap pada majlis penutupan latihan berkenaan di BPP Sri Petaling di sini hari ini.

Beliau berkata latihan itu juga telah berjaya membentuk jaringan kerjasama yang kukuh antara agensi kerajaan, khususnya antara Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan JBPM.

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2490706