AM

Tekanan Kewangan Ibu Bapa Jadi Kekuatan Syafiqah Nabihah Berjaya Raih Anugerah Pingat Emas Canselor

22/11/2025 08:23 PM

ARAU, 22 Nov (Bernama) -- Menyaksikan tekanan kewangan dihadapi ibu bapa hingga terpaksa menggadai barang kemas milik ibunya menjadikan kekuatan Syafiqah Nabihah Massuwan, 23, untuk tekun belajar hingga berjaya meraih Anugerah Pingat Emas Canselor pada Istiadat Konvokesyen ke-20 Universiti Malaysia Perlis (UniMAP), di sini hari ini.

Syafiqah Nabihah yang berasal dari Perak dan anak sulung daripada tujuh beradik itu berkata barang kemas ibunya perlu digadai pada masa itu, kerana mereka memerlukan wang untuk menyediakan kelengkapan kepada graduan Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Elektrik dengan kepujian itu menyambung pengajian peringkat universiti.

Beliau yang memperoleh Purata Nilai Gred Kumulatif (PNGK) 3.93 itu berkata sebagai anak sulung, sangat memahami masalah kewangan membelenggu ibu bapanya memandangkan hanya bapanya Massuwan Marzuki, 48, pencari nafkah keluarga sebagai pembantu am, manakala ibunya Malinda Basri, 45, suri rumah sepenuh masa.

“Itu pengorbanan yang saya tak boleh lupa. Ia jadi kekuatan untuk saya terus belajar bersungguh-sungguh kerana saya tak mahu sia-siakan usaha mereka,” katanya kepada Bernama selepas sidang satu istiadat konvokesyen itu di Dewan Tuanku Canselor.

Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail, berkenan mengurniakan anugerah itu kepada Syafiqah Nabihah.

Syafiqah Nabihah menarik perhatian beliau bekerja sambilan dengan menjual nasi bungkus oleh seorang peniaga di bawah blok kolej kediaman setiap kali tiada kelas ataupun habis kelas petang semasa tahun ketiga pengajian di UniMAP, bagi menampung perbelanjaan sendiri.

“Saya juga bersyukur layak menerima Dermasiswa MyBF Yayasan Tenaga Nasional Berhad setiap semester sebagai anak daripada golongan B40, ini sangat membantu saya sepanjang tempoh pengajian empat tahun,” katanya yang mempunyai enam adik berumur antara tujuh hingga 21 tahun.

Mengenai cabaran ketika pengajian, beliau hampir berputus asa pada peringkat awal pengajian, kerana sukar menyesuaikan diri dengan bidang kejuruteraan serta tidak mempunyai asas kukuh dalam subjek teknikal kerana beliau merupakan pelajar aliran Sains Tulen semasa peringkat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

“Keadaan tambah mencabar apabila sesi pengajian tahun pertama saya berlangsung semasa pandemik COVID-19, sehingga terpaksa mengikuti kelas dalam talian dengan capaian Internet yang lemah di kampung. Untuk dapat Internet yang stabil, saya terpaksa belajar di tepi laut belakang rumah. Kalau ada kuiz malam, saya duduk di tepi parit sebab di situ Internet lebih kuat,” katanya.

Syafiqah Nabihah berkata beliau pernah menangis kerana tidak berjaya menyiapkan tugasan diberikan pensyarah dalam sesi amali di makmal dan sering ketinggalan berbanding rakan lain, namun pensyarah serta rakan-rakan banyak membantunya dalam mengharungi cabaran itu dengan jayanya.

Beliau yang turut aktif dalam aktiviti kokurikulum di universiti itu berharap dapat bekerja dalam bidang tenaga boleh baharu, sama ada solar atau biomass dan dalam tempoh lima tahun akan datang sudah mempunyai kerjaya tetap untuk memberikan manfaat kepada keluarga, masyarkat dan negara.

-- BERNAMA

 

 

KEYWORDS
      
RELATED NEWS
MORE NEWS
© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2493978