GUA MUSANG, 16 Nov (Bernama) -- Jalan Gua Musang-Jeli di Kilometer 11.95 berdekatan Kampung Sungai Terah menuju Jelawang kini dibuka selorong selepas pembaikan segera lubang benam sepanjang 10 meter dikesan pagi tadi akibat limpahan air hujan.
Ketua Polis Daerah Gua Musang Supt Sik Choon Foo berkata kerosakan sebahagian bahu jalan itu dijangka siap sepenuhnya hujung bulan ini, manakala laluan satu lorong kini membolehkan semua jenis kenderaan melalui kawasan itu.
“Pengguna dinasihatkan supaya lebih berhati-hati dan mematuhi arahan pihak kontraktor yang sedang menjalankan kerja-kerja pembaikan,” katanya ketika dihubungi hari ini,
Sik berkata pemasangan Pelan Pengurusan Trafik turut dilakukan untuk memastikan keselamatan pengguna jalan raya.
-- BERNAMA