TANGKAK, 17 Nov (Bernama) -- Seorang wanita tempatan kerugian RM109,405 selepas terpedaya dengan tawaran kerja tidak wujud yang diterimanya secara dalam talian awal bulan ini, antara 1 hingga 8 Nov lalu.
Ketua Polis Daerah Tangkak Supt Roslan Mohd Talib berkata, mangsa berusia 41 tahun itu menerima panggilan daripada individu yang memperkenalkan diri sebagai wakil Shopee dengan menawarkan tugasan menaikkan penarafan (rating) jualan.
“Terpedaya dengan komisen sebanyak 40 peratus bagi setiap tugasan, mangsa telah memasukkan sejumlah wang ke lapan akaun berbeza melalui 19 transaksi,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata mangsa melakukan semua transaksi itu pada 9 dan 10 Nov, sebelum menyedari dirinya ditipu dan membuat laporan polis semalam.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan. Polis Daerah Tangkak menasihatkan orang ramai supaya sentiasa berwaspada dan tidak mudah percaya dengan tawaran kerja dalam talian yang menjanjikan komisen lumayan secara mudah dalam tempoh singkat,” katanya.
-- BERNAMA