JENAYAH & MAHKAMAH

JBPM Bina Pusat Operasi K9 Keempat Di Bertam Bernilai RM19 Juta

17/11/2025 08:06 PM

KUALA LUMPUR, 17 Nov (Bernama) -- Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) akan membina pusat operasi Unit Anjing Pengesan (K9) keempat di Bertam, Pulau Pinang dengan kos keseluruhan RM19 juta.

Ketua Pengarah JBPM Datuk Seri Nor Hisham Mohammad berkata pusat operasi baharu itu yang dijangka beroperasi sepenuhnya pada 2029, akan meningkatkan kecekapan masa tindak balas bagi insiden di utara Semenanjung, yang ketika ini bergantung kepada pusat K9 di ibu negara.

“Pembinaan akan dijalankan di atas tanah rizab seluas 2.02 hektar yang terletak di Pangkalan Udara Wilayah Utara JBPM dan Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bertam.

“Jika tiada halangan, proses tender dijangka dibuka seawal penghujung 2026. Kerja pembinaan pula akan bermula pada 2027 sebelum operasi dimulakan pada awal 2029,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Sentuhan Kejayaan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan yang turut dihadiri menteri berkenaan Nga Kor Ming di Pusat Operasi K9 Taman Sri Sentosa, Jalan Klang Lama di sini hari ini.

Beliau berkata pusat operasi itu akan meliputi kawasan utara tanah air termasuk Perak dan kawasan Cameron Highlands, Pahang.

Nor Hisham berkata kebergantungan terhadap pusat K9 di Kuala Lumpur bagi operasi di utara boleh menjejaskan keberkesanan, khususnya dalam dua disiplin utama iaitu penyiasatan forensik kebakaran dan pencarian mayat di air.

“Dalam kes kebakaran, bukti pencetus api berisiko teruap sekiranya masa yang diambil terlalu lama. Bagi kes lemas pula, kelewatan boleh menyebabkan mayat hanyut lebih jauh dibawa arus,” katanya.

Beliau berkata JBPM ketika ini memiliki 34 ekor anjing pengesan, namun memerlukan sekurang-kurangnya 56 ekor bagi melengkapkan keperluan operasi termasuk pusat baharu di Bertam.

Bagi mengoptimumkan kos, JBPM turut merancang melaksanakan program pembiakan sendiri yang akan dikendalikan pegawai jabatan yang telah menjalani latihan khusus selama tiga bulan di United Kingdom.

Setakat ini JBPM mempunyai tiga pusat operasi K9 iaitu di Jalan Klang Lama, Tuaran (Sabah) dan Serian (Sarawak).

Terdahulu dalam ucapannya, Nor Hisham berkata kerajaan telah meluluskan perolehan 16 ekor anjing pengesan baharu dari United Kingdom bagi disiplin penyiasatan kebakaran serta mencari dan menyelamat, dengan kos keseluruhan RM2.4 juta termasuk peruntukan tambahan RM600,000 daripada Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA).

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2491773