KUALA LUMPUR, 17 Nov (Bernama) -- Presiden Mahkamah Rayuan Datuk Abu Bakar Jais dilantik untuk melaksanakan kuasa dan tugas Hakim Besar Malaya sehingga jawatan itu diisi secara hakiki.
Berdasarkan surat Ketua Hakim Negara Datuk Seri Wan Ahmad Farid Wan Salleh, yang diperoleh media hari ini, lantikan itu bermula pada Sabtu lepas dan dibuat mengikut Seksyen 9(3)(a) Akta Mahkamah Kehakiman 1964.
"Saya dengan ini melantik Yang Amat Arif Datuk untuk menjalankan kuasa-kuasa dan tugas-tugas Hakim Besar Malaya mulai 15 Nov 2025 sehingga jawatan tersebut diisi secara hakiki," katanya dalam surat bertarikh 14 Nov lepas yang dikeluarkan oleh Pejabat Ketua Pendaftar Mahkamah Persekutuan di Putrajaya.
Abu Bakar mengangkat sumpah jawatan dan taat setia sebagai Presiden Mahkamah Rayuan pada 28 Julai lepas menggantikan Tan Sri Abang Iskandar Abang Hashim, yang bersara pada 3 Julai lepas.
Pelantikan itu dibuat berikutan Tan Sri Hasnah Hashim, 66, bersara wajib pada Jumaat selepas berkhidmat selama 42 tahun dalam badan kehakiman.
Beliau dilantik sebagai Hakim Besar Malaya wanita ketiga di negara ini selepas Tan Sri Norma Yaakob dan Tan Sri Zaharah Ibrahim.
Hasnah turut mencipta sejarah sebagai wanita pertama memegang jawatan Penolong Penasihat Undang-Undang di Selangor.
-- BERNAMA