JENAYAH & MAHKAMAH

Langgar Perintah Sekatan, Mahkamah Rayuan Ganti Hukuman Penjara Kepada Amaran Keras 

17/11/2025 08:44 PM

PUTRAJAYA, 17 Nov (Bernama) -- Seorang peniaga kereta terpakai terlepas hukuman penjara selepas Mahkamah Rayuan hari ini menggantikan hukuman penjara dua tahun terhadapnya dengan satu amaran keras atas kesalahan melanggar perintah sekatan berkaitan kegiatan kumpulan jenayah.

Panel tiga hakim Mahkamah Rayuan diketuai Hakim Datuk Azmi Ariffin menolak rayuan Michael Liew terhadap sabitan, namun menggunakan budi bicara di bawah Seksyen 384 Kanun Tatacara Jenayah untuk mengeluarkan amaran dan membebaskannya.

Turut bersidang ialah Hakim Datuk Hayatul Akmal Abdul Aziz dan Hakim Datuk Meor Hashimi Abdul Hamid.

Liew, 45, ditemukan tidak sedarkan diri di sebuah kedai kopi di Kuala Terengganu pada 10.30 malam 13 Sept 2022, walaupun terdapat perintah mahkamah yang mengarahkan beliau perlu berada di rumah dari 8 malam hingga 6 pagi.

Hakim Azmi ketika membacakan penghakiman berkata mahkamah mengambil kira Liew telah menjalani perintah sekatan selama dua tahun dan tidak mempunyai kesalahan lain selain kes di Mahkamah Rayuan.

Perintah sekatan berkenaan yang ditandatangani pengerusi lembaga di bawah Akta Pencegahan Jenayah (POCA) 1959, menghendaki Liew berada di dalam rumah di daerah Kuala Terengganu dari 6 Okt 2021 hingga 16 Jun 2023 kecuali dengan kebenaran ketua polis daerah.

Seksyen 15(4) POCA memperuntukkan hukuman penjara minimum dua tahun dan maksimum 10 tahun, jika disabitkan kesalahan melanggar perintah berkenaan.

Pada 6 Ogos 2023, Mahkamah Majistret mensabitkan Liew atas kesalahan melanggar perintah sekatan kerana berada di luar rumahnya di Taman Sri Kolam, Kuala Terengganu pada 10.30 malam pada 13 Sept 2022.

Mahkamah Tinggi pada 31 Mac tahun lepas mengekalkan keputusan Mahkamah Majistret.

Liew, yang sebelum ini dibebaskan dengan jaminan RM16,000 dengan seorang penjamin sementara menunggu keputusan rayuan, akan menerima semula wang jaminan.

Peguam Datuk N. Sivananthan dan Nabila Habib mewakili Liew manakala timbalan pendakwa raya Mohamad Arif Aizuddin Masrom dan Mohd Zain Ibrahim mewakili pihak pendakwaan.

-- BERNAMA

 

 

 


 

KEYWORDS
      
RELATED NEWS
MORE NEWS
© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2491958