AM

Pasukan "The Goldfinger" Bernama Menangi Malakoff Amazing Hunt 2025

17/11/2025 05:09 PM

KUALA LUMPUR, 17 Nov (Bernama) -- Pasukan “The Goldfinger” daripada Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama), muncul juara dalam kategori media arus perdana dan pempengaruh di Malakoff Amazing Hunt 2025, satu acara pencarian harta karun berfokuskan kelestarian yang diadakan di Taman Botani di sini pada Sabtu, sempena sambutan ulang tahun ke-50 Malakoff.

Malakoff Corporation Berhad dalam satu kenyataan memaklumkan bahawa edisi ketiga acara itu menghimpunkan 64 peserta daripada 16 pasukan, melibatkan wakil agensi kerajaan, pihak berkepentingan, organisasi media dan komuniti media sosial.

Diadakan sepenuhnya dengan berjalan kaki, acara itu menampilkan aktiviti bertemakan kelestarian seperti kitar semula kreatif dan penanaman hijau  yang menekankan kaedah praktikal untuk mengamalkan gaya hidup lestari dengan pusat pemeriksaan yang direka untuk menonjolkan pencapaian kelestarian Malakoff sepanjang lima dekad operasinya.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Malakoff Syahrunizam Samsudin berkata Malakoff Amazing Hunt merupakan cara bermakna untuk meraikan ulang tahun 50 tahun syarikat dengan menghimpunkan pihak berkepentingan, pihak media dan komuniti media sosoal dalam suasana yang santai dan berinformasi.

Malakoff Amazing Hunt 2025 mencerminkan perjalanan kelestarian kami dan menegaskan kepentingan mengamalkan amalan yang lestari dalam kehidupan seharian – selaras dengan matlamat kami iaitu ‘Enhancing Life, Enriching Communities’.

Ia juga membuka peluang untuk memperkukuh hubungan dengan pihak berkepentingan serta membina komitmen bersama ke arah masa depan yang lebih lestari. Dengan penglibatan komuniti media arus perdana dan media sosial, kami dapat memperluas capaian dan menggalakkan tindakan kolektif demi masa depan yang lebih hijau”,” katanya.

Pasukan The Boss Baby daripada New Straits Times (NST) muncul naib juara dalam kategori media arus perdana dan pempengaruh, manakala Pasukan Inderaloka daripada TV3 meraih tempat ketiga.

Bagi kategori pihak berkepentingan, Pasukan JKAS daripada Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) menduduki tempat pertama, diikuti Pasukan PPJ2 dan Pasukan PPJ1 daripada Perbadanan Putrajaya (PPj).

Acara tersebut dilepaskan Ketua Bahagian Sumber Manusia Malakoff, Hairuzzaman Sagi, serta Ketua Pegawai Operasi Alam Flora Sdn Bhd Mohamad Muhazni Mukhtar, sebelum para peserta memulakan siri cabaran berteraskan kelestarian di beberapa pusat pemeriksaan.

Mohamad Muhazni kemudian menyampaikan hadiah dan cek replika berjumlah RM13,600 kepada pemenang.

Antara agensi yang mengambil bahagian ialah Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA), Suruhanjaya Tenaga (ST), Unit Kerjasama Awam Swasta (UKAS) dan Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp), selain pempengaruh dan pencipta kandungan yang membantu menyebarkan mesej mengenai kehidupan lestari.

Menurut Malakoff, Amazing Hunt itu berfungsi sebagai peringatan bahawa tindakan kecil dalam kehidupan seharian dapat menyumbang dengan signifikan ke arah mengurangkan pelepasan karbon dan memperkukuh komitmen syarikat untuk mencapai Sifar Bersih menjelang 2050.

-- BERNAMA

 

 

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2491815