JENAYAH & MAHKAMAH

Lelaki Ditahan Serang Aktivis Suarakan Isu Lambakan Peniaga Warga Asing

18/11/2025 12:12 AM

KUALA LUMPUR, 17 Nov (Bernama) -- Seorang lelaki yang tular membuat provokasi terhadap sekumpulan aktivis badan bukan kerajaan (NGO) di Pusat Bandar Utara, Selayang, di sini semalam telah ditahan polis hari ini.

Ketua Polis Daerah Sentul ACP Ahmad Sukarno Mohd Zahari berkata suspek berusia 38 tahun itu ditahan 11.50 pagi ini susulan laporan diterima mengenai insiden tersebut pada 6.44 petang semalam.

Beliau berkata suspek didapati mempunyai satu rekod jenayah lampau dan tiga rekod berkaitan dadah.

“Pihak polis akan membuat pemohonan reman esok bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 323, 506 dan 509 Kanun Keseksaan,” katanya dalam kenyataan malam ini.

Video insiden melibatkan suspek yang dilihat bukan sahaja mengeluarkan kata-kata kesat, malah bertindak agresif terhadap anggota NGO itu yang dipercayai memberikan penerangan larangan warga asing menjalankan perniagaan di kawasan itu, tular di media sosial sejak semalam.

-- BERNAMA

 

 

 

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2492009