Di bawah ketenangan permukaan air laut yang jernih kebiruan mengelilingi kepulauan ini, wujud dunia marin menakjubkan dengan terumbu karang berkembang biak, menjadi "taman permainan” pelbagai spesies ikan terumbu yang berwarna-warni.
Di tengah-tengah pemandangan indah yang pernah dikenali sebagai “permata tersembunyi” dalam kalangan penyelam, muncul sang penyu - kelibat yang sukar dilihat pada suatu masa dulu - meluncur dengan gemalai.
Penemuan Kelab Menyelam Labuan ketika aktiviti mereka di gugusan pulau Rusukan Besar, Rusukan Kecil dan Kuraman itu turut bermakna perairan berkenaan kini muncul sebagai cagar alam penting penyu karah dan penyu agar, dua spesies hidupan marin terancam.
Penemuan itu juga secara tidak langsung menyerlahkan kepentingan Labuan dalam usaha pemuliharaan dan ekopelancongan.
KIAN KERAP DILIHAT
Presiden kelab Teoh Ming Woei berkata pemantauan oleh pasukan penyelamnya mengesan peningkatan aktiviti penyu di perairan yang merupakan sebahagian daripada Taman Laut Labuan itu.
“Penyelam kami merekodkan penemuan kerap penyu karah muda dan dewasa di sekitar zon ini, petanda yang sangat memberangsangkan bahawa ekosistem marin Labuan berada dalam keadaan sihat, seimbang dan berupaya menyokong kehidupan spesies sensitif seperti penyu,” katanya kepada Bernama.
Teoh berkata penemuan itu merupakan perkembangan positif bagi industri selaman rekreasi di Labuan, sekali gus meletakkan tapak-tapak selaman di pulau berkenaan antara paling menarik selain signifikan dari segi ekologi di Malaysia.
“Penyu merupakan tarikan utama penyelam dari seluruh dunia...kehadiran haiwan ini bukan sahaja menyerlahkan kepelbagaian biologi terumbu karang kita, malah meningkatkan daya tarikan Labuan sebagai destinasi selaman lestari yang setanding dengan lokasi terkenal lain di negara ini,” katanya.
(Penyu karah atau penyu sisik, menurut portal Jabatan Perikanan Malaysia, tergolong dalam keluarga Cheloniidae, berkarapas kecil dan bersifat karnivor dengan memakan karang lembut, sotong, udang dan batu karang sesuai dengan mulutnya yang berparuh. Penyu ini terdapat di Terengganu, Melaka, Pahang, Johor, Sabah dan Sarawak.
Penyu agar atau penyu hijau juga daripada keluarga Cheloniidae tetapi berkarapas besar dan bersifat herbivor dengan memakan rumput laut dan alga. Penyu ini terdapat di kebanyakan negeri di Malaysia kecuali Kelantan, Negeri Sembilan, Selangor dan Perlis)
TAMAN LAUT LABUAN SYURGA DI BAWAH OMBAK
Pulau Rusukan Besar, Rusukan Kecil dan Kuraman yang terletak dalam Taman Laut Labuan merupakan habitat ekosistem karang dan hidupan marin yang berkembang biak.
Terumbu cetek, cerun karang dan dasar laut berpasir di taman laut ini menjadi tempat perlindungan semula jadi bagi penyu karah dan penyu agar untuk makan, berehat dan berenang bebas.
Teoh berkata penyelam kelab itu melihat penyu karah makan span laut di sepanjang cerun karang, manakala penyu agar pula meragut di hamparan rumput laut berhampiran Pulau Rusukan Kecil.
“Pola ini sejajar dengan tabiat semula jadi kedua-dua spesies tersebut. Keadaan perairan yang kaya dengan terumbu, span laut dan rumput laut menjadikan perairan ini kawasan makanan yang ideal,” katanya.
Beliau berkata kelibat penyu-penyu tersebut dilihat dalam beberapa siri selaman yang dijalankan antara Jun hingga September lalu, menunjukkan kesesuaian kawasan berkenaan menjadi koridor pemakanan dan migrasi penting bagi penyu yang bergerak antara Laut China Selatan dan Teluk Brunei.
LALUAN SELAMAT MIGRASI PENYU
Menurut Teoh, perairan di sekitar Labuan menyediakan laluan selamat untuk penyu bermigrasi kerana arus laut yang secara relatifnya tenang, status dilindungi dan kadar kerosakan akibat aktiviti penangkapan ikan yang rendah.
“Penyu-penyu ini selalunya mengembara jauh merentasi Laut China Selatan. Taman Laut Labuan menjadi hentian penting untuk mereka berehat dan mencari makanan dalam perjalanan,” katanya.
Beliau menambah bahawa jarak yang dekat antara pantai pendaratan penyu di Labuan dan tempat makan haiwan ini turut mengukuhkan lagi keterhubungan ekologi persekitaran marin pulau tersebut.
PEMULIHARAAN DAN PELANCONGAN BERTANGGUNGJAWAB
Memuji usaha Jabatan Perikanan Malaysia dan pihak berkuasa Taman Marin Labuan dalam melindungi tapak pendaratan penyu, Teoh bagaimanapun menegaskan sudah tiba masa perhatian sama perlu diberikan kepada habitat bawah air yang dapat menyokong kelangsungan penyu sepanjang tahun.
“Pemuliharaan tidak harus terhenti setakat di pantai kerana penyu menghabiskan sebahagian besar hidupnya di laut. Justeru, melindungi habitat bawah air amat penting untuk kelangsungan jangka panjang spesies ini,” katanya.
Beliau mencadangkan penetapan zon bebas sauh, menjalankan tinjauan marin secara berkala serta mewujudkan program pemantauan penyu berasaskan komuniti yang melibatkan penyelam dan nelayan tempatan.
Sementara itu, Pengarah Perikanan Labuan Sufian Ahmad memberitahu Bernama pihaknya merekodkan pendaratan 38 ekor penyu di pantai dan pulau sekitar Labuan sejak Januari lalu, melibatkan 33 penyu karah dan lima penyu agar.
Katanya Jabatan Perikanan akan terus memperkukuh program konservasi penyu melalui penglibatan komuniti, kempen kesedaran dan aktiviti pemantauan bagi memastikan spesies yang terancam ini terus berkembang.
Justeru, beliau menggesa orang awam, terutamanya nelayan dan masyarakat pesisir pantai agar melaporkan sebarang pendaratan atau kematian penyu kepada Jabatan Perikanan untuk memudahkan tindakan pemuliharaan segera.
Bernama sebelum ini melaporkan dalam tempoh Januari hingga Oktober tahun lalu, sekurang-kurangnya 19 ekor penyu karah mendarat untuk bertelur di sekitar pantai Taman Laut Labuan.
Dalam tempoh itu sebanyak 2,562 biji telur dikutip dengan lokasi tumpuan di Rusukan Besar, Rusukan Kecil dan Pulau Kuraman. Dalam tempoh itu juga sebanyak 1,423 anak penyu dilepaskan ke laut.
Pada 2023 pula, sebanyak 18 penyu karah direkodkan mendarat dan menghasilkan 2,137 biji telur dengan 1,883 anak penyu telah dilepaskan ke laut.
MEMPERKUKUH IDENTITI LABUAN SEBAGAI DESTINASI EKOPELANCONGAN
Sehubungan itu, Teoh berkata penemuan populasi penyu berkenaan turut memperkukuh imej Labuan sebagai destinasi ekopelancongan bertaraf dunia, di samping membuka peluang untuk memupuk amalan selaman bertanggungjawab dalam kalangan pengusaha dan pelancong.
“Tapak-tapak selaman Labuan dengan bangkai kapal, taman karang dan kini habitat penyu yang disahkan, boleh berdiri sebaris dengan destinasi selaman utama negara seperti Sipadan, Mabul dan Tioman (Pahang),” katanya.
Beliau menambah bagi merancakkan lagi pelancongan selaman rekreasi, kemudahan seperti jeti khas untuk penyelam seperti di Kota Kinabalu wajar dibangunkan oleh pihak berkuasa tempatan.
“Kemudahan sebegini akan menjadikan aktiviti selaman lebih mudah, tersusun dan menarik kepada para penyelam.
"Jeti selaman serba lengkap juga membantu mengurus aspek keselamatan, pergerakan bot dan logistik, sambil memperkukuh reputasi Labuan sebagai hab selaman profesional,” katanya.
Susulan itu, katanya penyelidik pemuliharaan dan agensi pelancongan juga boleh bekerjasama dalam meletakkan Labuan sebagai model pelancongan marin lestari di negara ini.
“Penyu tidak mengenal sempadan, ia mengikuti terumbu, arus dan perairan yang selamat…tugas kita ialah memastikan Labuan terus menjadi sebahagian daripada laluan selamat itu,” katanya.
Ditubuhkan pada 2006, Kelab Menyelam Labuan akan terus bekerjasama dengan agensi kerajaan, universiti dan kumpulan pemuliharaan dalam mendokumentasikan biodiversiti marin dan mempromosikan amalan selaman bertanggungjawab di pulau berkenaan.