GAYA HIDUP

NGO-Swasta Bakal Terajui Projek Rintis Urus Sisa Di Kampung Sri Aman, Semporna

18/11/2025 10:27 AM

Oleh Norhidayyu Zainal

PETALING JAYA, 18 Nov (Bernama) -- Sebuah projek rintis pengurusan sisa berasaskan komuniti akan dilaksanakan di Kampung Sri Aman, Semporna, Sabah pada Januari depan bagi mengatasi masalah sampah serta pencemaran plastik yang sekian lama menjejaskan kehidupan masyarakat setempat dan ekosistem marin.

Program kerjasama Etika Sdn Bhd dengan Reef Check Malaysia (RCM) yang turut disokong Malaysian Recycling Alliance (MAREA) itu bertujuan mewujudkan model pengurusan sisa tersusun dan mampan, sekali gus boleh dijadikan rujukan untuk kampung pesisir lain.

Pengurus Program RCM Adzmin Fatta berkata penduduk kampung atas air sering dipersalahkan atas masalah sampah sedangkan mereka sebenarnya tidak mempunyai banyak pilihan dalam menguruskan sisa.

pic-2

“Orang selalu anggap penduduk buang sampah merata-rata kerana tidak berdisiplin atau tidak berpendidikan, tetapi kalau kita sendiri tinggal di sana, kita juga akan tanya sampah mahu dibuang di mana. Pilihan mereka hanya pantai atau laut.

“… bagi penduduk, laut berfungsi seperti ‘tong sampah terbesar’ kerana ketiadaan sistem pengurusan sisa yang disediakan,” katanya kepada Bernama selepas pelancaran Program Pengurusan Sisa Semporna, baru-baru ini.

Beliau berkata usaha membangunkan sistem pengurusan sisa di kampung atas air memerlukan kos operasi tinggi serta kerjasama rapat komuniti bagi memastikan sistem itu diterima dan mampu dilaksanakan secara konsisten.

pic-3

Menurutnya, banyak dasar sebelum ini tidak mendapat sokongan kerana dilaksanakan secara “top-down” (dari atas ke akar umbi) tanpa mengambil kira realiti hidup penduduk.

“Sistem ini mesti dibentuk bersama-sama dengan komuniti. Kalau (sistem) datang dari luar tetapi penduduk tidak bersedia melaksanakannya, ia tidak akan berjaya,” katanya.

Beliau berkata berdasarkan audit awal yang dijalankan di Kampung Sri Aman, setiap penduduk menghasilkan kira-kira 1.18 kilogram sisa sehari, menjadikan pelaksanaan sistem pengurusan sisa sebagai keperluan mendesak di kawasan tersebut.

Katanya fasa pertama projek itu menyasarkan penyertaan 50 rumah sebelum diperluaskan hingga 100 buah rumah dalam tempoh tiga tahun, bergantung pada tahap kepatuhan penduduk.

pic-4

Jelasnya projek tersebut menyasarkan sekurang-kurangnya 10 tan sisa, terutamanya plastik, dapat dielakkan daripada dibuang ke laut dalam tempoh sama.

“Selain memberi manfaat kepada alam sekitar, program ini juga membuka peluang pekerjaan kepada penduduk kampung yang akan dilibatkan sebagai pengutip dan penyelaras sisa.

“Bahan kitar semula yang dikumpul akan dihantar ke pusat pengumpulan dan keuntungan daripadanya akan disalurkan semula untuk memperkukuh inisiatif pengurusan sisa komuniti,” katanya.

pic-5

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Syarikat Etika Santharuban Thurai Sundram berkata inisiatif itu merupakan lanjutan kerjasama dengan RCM selepas beberapa projek pemuliharaan terumbu karang dijalankan sejak lebih tiga tahun lalu.

“Kawasan ini dekat dengan perairan jernih yang menjadi antara lokasi selaman utama di Sabah. Pencemaran memang teruk, jadi sebagai syarikat swasta kami percaya kami boleh memainkan peranan membantu komuniti menguruskan sisa dengan betul,” katanya yang berharap dapat mewujudkan impak jangka panjang yang bermakna.

pic-6

Wakil penduduk Kampung Sri Aman, Hassan Gabra Hajan, 60, berkata komuniti menyambut baik pelaksanaan sistem itu bagi menangani masalah pembuangan sampah ke laut yang sudah lama berlarutan.

“Saya mencadangkan supaya ditubuhkan jawatankuasa pemantauan serta penganjuran gotong-royong bulanan bagi memastikan kebersihan kampung dapat dikekalkan,” katanya yang juga bekas ketua kampung itu.

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2492033