SANDAKAN, 18 Nov (Bernama) -- Pakatan Harapan (PH) bersedia menjadi rakan strategik untuk membentuk kerajaan Sabah bersama gabungan parti-parti lain yang mendukung tiga elemen teras perjuangan, iaitu kestabilan politik, kemakmuran ekonomi dan fokus terhadap kebajikan rakyat.
Setiausaha Agung PH Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata walaupun PH hanya bertanding satu pertiga daripada 73 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang dipertandingkan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17, namun isyaratnya jelas bahawa PH bertanding untuk memenangi sebanyak mungkin kerusi.
“Kita akan kerja kuat untuk menyumbang kemenangan, kita akan pertahankan kerusi DUN Inanam dan Api-Api dan kita harap boleh menyumbang kemenangan di Gum Gum, Melalap dan Petagas.
“Kita harap rakyat Sabah akan memberikan pertimbangan untuk memilih calon-calon PH,” katanya semasa berucap pada program Sembang Santai bersama calon PH Gum Gum, di sini hari ini.
Pada PRN ke-17, PH bertanding di 21 kerusi DUN, iaitu 12 diwakili PKR, DAP (lapan) dan satu Amanah.
Saifuddin, yang juga Pengarah Pilihan Raya Bersama PKR berkata apabila PH meletakkan wakil pada peringkat negeri, ia memudahkan mereka untuk menjalin kerjasama dengan Kerajaan Perpaduan pada peringkat Persekutuan.
Kerajaan negeri yang dibentuk selepas 29 Nov nanti perlu bersedia bekerjasama dengan Persekutuan, memandangkan sukar untuk membangunkan Sabah sekiranya hubungan antara kedua-dua bermusuhan.
Beliau berkata hanya semasa pemerintahan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim sahaja peruntukan tertinggi disalurkan kepada Sabah, antaranya peruntukan pembangunan RM6.9 bilion selain kadar pemberian khas dinaikkan kepada RM600 juta berbanding RM26.7 juta pada 2019.
Malah, rundingan berkaitan pemberian khas berdasarkan 40 peratus hasil Sabah seperti diumumkan Perdana Menteri akan diteruskan selepas kerajaan negeri dibentuk dan ia menjadi keutamaan.
Selain itu, Saifuddin yang juga Menteri Dalam Negeri berkata pasukan keselamatan sentiasa berada pada tahap terbaik dari sudut keanggotaan, aset dan pos kawalan bagi memastikan keselamatan Sabah.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 29 Nov ini sebagai hari pengundian bagi PRN Sabah ke-17 manakala tarikh penamaan calon pada 15 Nov dan 25 Nov bagi pengundian awal.
Untuk berita-berita terkini tentang PRN Sabah ke-17, sila layari https://prn.bernama.com/sabah/index.php
-- BERNAMA