KUALA LUMPUR, 18 Nov (Bernama) -- Mahkamah Sesyen di sini hari ini menetapkan 7 Jan depan untuk memutuskan representasi dua lelaki warga China bagi mengkaji semula pertuduhan mengambil gambar di kawasan larangan Kementerian Pertahanan (MINDEF) menggunakan dron yang dihadapi mereka.
Hakim Suhaila Haron membuat keputusan itu selepas Timbalan Pendakwa Raya Nor Aisyah Mohamed Zanyuin memaklumkan bahawa Jabatan Peguam Negara (AGC) telah menerima representasi yang dikemukakan oleh Li Luorong, 26, dan Chen Junhao, 19, pada 22 Okt lepas.
"Ini representasi kali pertama dan ia masih dalam pertimbangan AGC... pihak kami mohon tarikh sebutan untuk maklumkan kepada mahkamah mengenai jawapan kepada representasi tersebut serta serahan dokumen tambahan," kata Nor Aisyah.
Peguam Ooi Hong Ming, yang mewakili kedua-dua tertuduh, mengesahkan perkara itu.
Kedua-dua warga China didakwa melakukan perbuatan itu dengan niat mendapatkan maklumat rasmi bagi maksud yang memudaratkan keselamatan negara iaitu mengambil gambar pandangan atas menggunakan dron jenis DJI Mavic 3 Enterprise di lokasi yang diwartakan sebagai kawasan larangan tanpa kebenaran.
Mereka didakwa melakukan kesalahan itu di padang bola B MINDEF, Jalan Padang Tembak di sini pada 11.50 pagi 6 Ogos lepas mengikut Seksyen 3(a) Akta Rahsia Rasmi 1972 dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara seumur hidup, jika sabit kesalahan.
Li dan Chen turut berdepan pertuduhan mengambil gambar dari udara menggunakan dron jenis sama dengan maksud melakukan kerja ukur atau pemeruman tanpa kebenaran pihak berkuasa di lokasi serta pada tarikh dan masa sama.
Bagi kesalahan ini, mereka didakwa mengikut Seksyen 4(1) Akta Rahsia Rasmi 1972 dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara minimum setahun dan maksimum 14 tahun, jika sabit kesalahan.
Mahkamah telah menetapkan 27 hingga 30 April serta 4 dan 6 Jun 2026 untuk perbicaraan kes itu.
-- BERNAMA