JENAYAH & MAHKAMAH

Bunuh Abang: Lelaki Terlepas Tali Gantung Dipenjara 35 Tahun, 15 Sebatan

18/11/2025 06:11 PM

KUCHING, 18 Nov (BERNAMA) -- Seorang lelaki terlepas hukuman gantung sampai mati selepas Mahkamah Persekutuan membenarkan rayuan terakhirnya bagi kesalahan membunuh abang kandung dengan menembak mangsa menggunakan senapang patah di sebuah rumah panjang di Sibu, sembilan tahun lepas.

Panel tiga hakim dipengerusikan oleh Hakim Besar Sabah dan Sarawak Datuk Azizah Nawawi sebulat suara mengetepikan  hukuman mati yang dijatuhkan oleh Mahkamah Tinggi ke atas Ringgie Ampas ,47, selepas membenarkan rayuannya serta menggantikannya dengan penjara 35 tahun dan 15 sebatan.

Ringgie dituduh melakukan kesalahan itu di Kampung Sibintek, Skim B, Batu 24, Sibu antara 11 dan 11.30 pagi pada 21 Mei 2017 mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Terdahulu, peguam Louis Jarau Patrick yang mewakili tertuduh, berkata pihaknya telah menghantar representasi kepada Jabatan Peguam Negara di bawah Akta Semakan Hukuman Mati dan Pemenjaraan Sepanjang Hayat (Bidang Kuasa Sementara Mahkamah Persekutuan) 2023.

“Menerusi akta tersebut, saya memohon agar hukuman penjara 30 tahun bagi anak guam saya,” katanya kepada pemberita di Mahkamah Tinggi di sini hari ini. 

Timbalan Pendakwa Raya Mohd Amril Johari tidak membantah permohonan itu namun memohon mahkamah menjatuhkan hukuman penjara 33 tahun dan 13 sebatan ke atas Ringgie.

-- BERNAMA

 

 

 

KEYWORDS
     
RELATED NEWS
MORE NEWS
© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2492313