GAYA HIDUP

Jalani Pembedahan Tumor, Shahronizam Perlahankan Aktiviti Seni

18/11/2025 07:17 PM

KUALA LUMPUR, 18 Nov (Bernama) -- Berdepan keterbatasan pergerakan tangan kanan selepas menjalani pembedahan membuang tumor pada bahagian tulang belikat, pelakon Shahronizam Noor mengambil keputusan memperlahankan aktiviti seni buat seketika bagi memberi tumpuan proses pemulihan.

Pembedahan yang dijalankan di Hospital Kuala Lumpur (HKL) pada 29 Okt lepas itu, menurut aktor berusia 53 tahun ini melibatkan pemotongan sebahagian tulang belikat kanan atau skapula sebaik doktor mendapati ketumbuhan tersebut telah menembusi tulang berkenaan.

pic-2

Semuanya bermula selepas suami kepada penyanyi terkenal era 90-an, Safura Yaacob ini mengalami bengkak dan denyutan pada bahagian belakang badan sejak Ogos lepas, sebelum mendapatkan rawatan di Klinik Kesihatan Ampang.

Shahronizam seterusnya dirujuk untuk rawatan intensif di Hospital Ampang sebelum dipindahkan ke HKL bagi menjalani pembedahan membuang ketumbuhan, satu prosedur yang mengambil masa kira-kira enam jam di dewan pembedahan.

“Doktor beritahu pergerakan tangan kanan terhad, sekitar 40 peratus sahaja. Tangan saya tak boleh angkat tinggi atau ke belakang seperti biasa,” katanya ketika ditemui di rumahnya selepas menerima kunjungan Persatuan Seniman Malaysia (SENIMAN) 2025 menerusi program Ziarah Prihatin di sini, hari ini.

pic-3

Program ziarah itu yang diketuai Presiden SENIMAN Zed Zaidi dan disertai Ketua Pegawai Eksekutif D'Ayu Pictures Sdn Bhd Azaromi Ghozali, turut menghulurkan sumbangan kepada Shahronizam.

Menjelaskan perkembangan kesihatannya, aktor kelahiran Taiping, Perak itu berkata sampel tumor berkenaan telah dihantar ke makmal bagi menentukan sama ada ia benigna atau kanser dengan keputusan dijangka diperoleh dalam tempoh satu hingga dua minggu.

“Kalau keputusan tak cantik, saya mungkin kena buat radioterapi. Doktor kata kemoterapi bukan dalam perancangan. Saya reda saja, yang penting punca sakit itu dah dibuang. Saya serah kepada Allah sahajalah. Hidup mati kita semua kerana Allah.

pic-4

“Alhamdulillah, saya terima apa sahaja rezeki yang datang. Sumbangan hari ini sangat membantu meringankan beban kos rawatan dan keperluan harian selain beri kekuatan moral untuk terus berjuang,” katanya sambil melahirkan penghargaan kepada pihak yang menghulurkan bantuan sepanjang tempoh pemulihannya.

Sempat  menyiapkan satu episod drama sebelum pembedahan dan dijangka kembali ke set penggambaran tersebut pada Disember, namun semuanya bergantung pada keadaan fizikalnya.

“Insya-Allah kerja masih berjalan. Cuma babak lasak saya kena kurangkan kerana doktor pun beritahu mereka akan pantau keadaan saya dalam tempoh lima tahun. Mungkin setahun dua kali atau tiga kali saya perlu jumpa pakar,” katanya.

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2492342