GAYA HIDUP

Bakat Insan Istimewa Bersinar Di Konsert Unveiling Uniqueness 2

17/11/2025 04:00 PM

Oleh Norhidayyu Zainal

PETALING JAYA, 17 Nov (Bernama) -- Persembahan koir kod tangan oleh enam murid Sekolah Kebangsaan Pendidikan Khas Jalan Peel menjadi antara yang mencuri tumpuan pada Konsert Unveiling Uniqueness 2: Celebrating Diversity yang berlangsung Sabtu lepas.

Kumpulan dikenali sebagai Magika itu dianggotai Kyle Fahrel Aidi Shafli, Wong Kok Hao, Wan Nurhanisah Wan Mohd Hidir, Puteri Nur Alyssa Mohd Hanafi, Kayyisa Adra Ibnu Khaldun dan Nuur Aufa Hana Mohd Hanif - kesemuanya murid berkeperluan khas pendengaran di sekolah berkenaan.

Menerusi lagu Terang nyanyian Datuk Seri Siti Nurhaliza dan Golden daripada runut bunyi filem Kpop Demon Hunters, mereka menampilkan formasi serta koordinasi bahasa isyarat yang kemas hasil latihan intensif selama seminggu di bawah bimbingan tenaga pengajar Fazrina Idris dan Amril Nurman Lokman.

pic-2

Fazrina berkata penyertaan pertama kumpulan murid berusia lapan dan sembilan tahun itu membuktikan bahawa bahasa isyarat mampu menjadi medium penyampaian seni yang berkesan serta setanding persembahan lain.

“Kami mahu tunjukkan bahawa walaupun tanpa suara, mereka tetap boleh membuat persembahan yang baik apabila diberikan peluang dan bimbingan yang sesuai,” katanya ketika ditemui Bernama selepas konsert itu.

pic-3

Menurutnya, kumpulan berkenaan mula dilatih secara lebih tersusun selepas kemenangan mereka dalam pertandingan HEAR ME Got Talent pada 2023, yang menonjolkan kebolehan berlakon, menari dan menyampaikan lagu menggunakan bahasa isyarat.

“Magika juga ditubuhkan sebagai platform membina keyakinan diri ahli-ahlinya selain meningkatkan kesedaran awam terhadap komuniti pekak dan kurang pendengaran,” katanya.

pic-4 

Turut mendapat perhatian pemuda autistik Umar Hasfizal, 27, yang melakukan persembahan solo lagu Gemuruh nyanyian Faizal Tahir, disampaikan penuh keyakinan sambil berinteraksi spontan dengan penonton.

Anak sulung daripada tiga beradik itu yang aktif membuat persembahan sejak berusia 12 tahun, mengakui teruja dapat kembali ke pentas berkenaan selepas kemunculan sulungnya tahun lalu.

“Alhamdulillah, saya rasa sangat seronok dan gembira. Tahun ini lebih meriah berbanding tahun lepas. Saya harap selepas ini dapat membuat persembahan di seluruh negara dan juga di luar negara seperti Singapura, Indonesia dan Brunei,” katanya.

pic-5

Selain persembahan solo, Umar turut muncul dalam segmen berkumpulan menerusi lagu Bohemian Rhapsody, Clocks, Don’t Stop Believing dan Tomorrow,  berkolaborasi dengan penyanyi legenda Datuk Francissca Peter.

Selain mereka, konsert Unveiling Uniqueness 2 anjuran Musicians for Musicians (MFM) dengan kerjasama Music Mart itu turut mengetengahkan lebih 30 bakat muda luar biasa golongan Orang Kurang Upaya (OKU) dari seluruh negara menerusi pelbagai persembahan muzik.

Mereka termasuk barisan pemain piano autistik seperti Raees Aryan, pasangan adik-beradik Clarence Kang dan Chermaine Kang; pemain piano buta Natalia Lee Jia En dan penyanyi autistik Lee King Tech. Turut membuat penampilan istimewa penyanyi legenda Frankie Tan.

pic-6

Penyanyi dan penulis lagu autistik Sarah Ow; penceramah motivasi dan pemain gitar yang dilahirkan dengan tangan kanan tidak sempurna Ong Boo Siong; serta peserta ratu cantik dan atlet Special Olympics Siti Nur Aisyah Shahimee yang dilahirkan dengan sindrom Down, juga tidak ketinggalan membuat persembahan.

Pengerusi Penganjur Unveiling Uniqueness 2 Edwin Nathaniel dalam ucapannya, berkata konsert tahun ini menyediakan platform yang lebih inklusif dengan penyertaan penggiat seni berkeupayaan berbeza daripada pelbagai latar belakang muzik dan persembahan.

pic-7

“Konsert ini bukan setakat persembahan tetapi juga sebuah platform yang membolehkan para remaja ini menyerlahkan bakat mereka. Jika kita tidak mencipta peluang untuk mereka, siapa lagi? Pengalaman menghasilkan muzik mengajar mereka tentang kerja berpasukan, kesabaran dan keyakinan.

“Harapan kami ialah agar konsert ini bukan sahaja menghiburkan tetapi juga meningkatkan kesedaran tentang kepelbagaian dan keterangkuman dalam bidang seni. Keberanian dan semangat yang ditunjukkan oleh para penggiat seni ini memberi inspirasi kepada kita semua,” katanya.

-- BERNAMA

 

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2491571