KUALA LUMPUR, 18 Nov (Bernama) -- Sebanyak 928,037 pengguna telah memuat turun dan menggunakan aplikasi Sistem Skim Penstabilan Harga Minyak Masak (eCOSS) sejak ia dilancarkan Ogos lepas, kata Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Datuk Dr Fuziah Salleh.
Beliau berkata peluasan penggunaan sistem itu daripada pengeluaran hingga ke peringkat pengguna akhir menyumbang kepada pengawalan ketirisan minyak masak paket bersubsidi daripada berlaku.
"Sebelum ini, kita hanya ada sistem eCOSS daripada kilang kepada pemborong dan peruncit… kita terhenti di peringkat peruncit kerana sistem itu berhenti di situ... oleh kerana itu, banyak yang mengambil kesempatan.
"Dengan adanya eCOSS, kita sudahpun sampai ke peringkat pengguna… kita dapati ketirisan itu dapat kita bendung kerana setiap pembelian mesti dicatat di dalam eCOSS," katanya ketika menggulung perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan (Belanjawan) 2026 peringkat jawatankuasa bagi kementerian itu di Dewan Rakyat hari ini.
Fuziah berkata aplikasi itu mewajibkan pengguna mengimbas kad pengenalan ketika melakukan pembelian sekali gus membolehkan minyak masak paket bersubsidi disalurkan kepada golongan sasar.
Dewan Rakyat kemudian meluluskan anggaran perbelanjaan mengurus dan pembangunan berjumlah RM2,150,713,800 bagi kementerian itu dalam Belanjawan 2026, dengan lebih suara bersetuju.
Persidangan bersambung esok.
-- BERNAMA