SEREMBAN, 18 Nov (Bernama) -- Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Negeri Sembilan giat melaksanakan advokasi penggunaan Sistem Skim Penstabilan Harga Minyak Masak (eCOSS) bagi meningkatkan kefahaman orang ramai terhadap fungsi aplikasi berkenaan.
Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Keusahawanan, Sumber Manusia, Perubahan Iklim, Koperasi dan Kepenggunaan negeri S.Veerapan berkata eCOSS dibangunkan bagi memantau pembelian minyak masak bersubsidi secara lebih teratur selain membendung ketirisan subsidi.
Beliau berkata menerusi pendaftaran eCOSS, hanya warga tempatan yang layak membuat pembelian minyak masak peket dengan had pembelian maksimum tiga kilogram sehari.
“Pelaksanaan ini bagi memastikan subsidi benar-benar sampai kepada golongan sasaran dengan warga asing tidak boleh membeli minyak masak peket bersubsidi.
“Penggunaan eCOSS secara menyeluruh bukan sahaja meningkatkan ketelusan malah membantu kerajaan negeri dan Kerajaan Persekutuan memantau pergerakan bekalan minyak masak bersubsidi dengan lebih berkesan," katanya kepada pemberita selepas melakukan tinjauan di Pasar Raya Zemart Senawang di sini hari ini.
Veerapan berkata bagi pengguna yang tidak mempunyai aplikasi berkenaan, mereka masih boleh membeli dengan mengisi buku log yang disediakan secara manual di kedai atau pasar raya.
Beliau berkata para peniaga digalakkan menyediakan petugas khas bagi membantu pengguna membuat pendaftaran aplikasi, terutama kepada golongan yang belum biasa dengan sistem berkenaan.
Sementara itu, suri rumah, Chong Kwee Wing, 59, berkata dia baharu sahaja dimaklumkan oleh pekerja pasar raya mengenai aplikasi eCOSS semasa mahu membeli minyak masak peket.
"Saya tak tahu muat turun aplikasi ini, pekerja di sini yang membantu dan memberikan penjelasan mengenai eCOSS, ini satu usaha bagi memastikan bantuan kerajaan sampai kepada mereka yang benar-benar layak,” katanya.
Suri rumah, Ruslina Amat, 61, berkata dia memuat naik aplikasi berkenaan sejak seminggu lepas dan menyifatkan eCOSS penting untuk mengelakkan salah guna dan pembelian berlebihan.
-- BERNAMA