KUALA LUMPUR, 19 Nov (Bernama) -- Pembangunan industri nadir bumi (REE) akan melalui proses libat urus yang ketat di peringkat kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri bagi memastikan rantaian nilainya dibangunkan di dalam negara.
Ketika menegaskan perkara itu, Menteri Perladangan dan Komoditi Datuk Seri Johari Abdul Ghani yang turut menjalankan tugas sebagai Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam berkata kerajaan Persekutuan akan mengambil kira aspek alam sekitar serta pengeksportan REE manakala kerajaan negeri terlibat secara lansung dalam kebenaran perlombongannya.
"Kita mahu pastikan bahawa REE ini tidak dieksport sewenang-wenangnya dan memastikan aktiviti huluan, pertengahan dan hilirannya dibangunkan di dalam negara.
"Pembangunan REE juga tidak dapat dilakukan secara pantas kerana Malaysia masih belum mempunyai kepakaran dan teknologi berskala komersial bagi melaksanakan perlombongan REE," katanya di Dewan Rakyat hari ini bagi menjawab soalan Datuk Dr Ku Abd Rahman Ku Ismail (PN-Kubang Pasu) mengenai pembangunan REE.
Menyanggah kebimbangan mengenai risiko “penjajahan moden” menerusi minat negara luar terhadap sumber REE negara, Johari menegaskan Malaysia mempunyai struktur perundangan dan proses kelulusan yang kukuh.
“Pelabur boleh datang, tetapi mereka juga mesti melalui proses yang kita tetapkan. Kita akan lihat lokasi, nilai rizab, potensi pembinaan kilang, peluang pekerjaan dan hasil untuk negeri. Malaysia adalah sebuah negara berdaulat dan kita pertahankan hak kita,” katanya.
Menyentuh aspek kekangan, beliau berkata kekurangan kepakaran dalam pembangunan industri REE menyebabkan Malaysia terpaksa bergantung kepada teknologi luar bagi tujuan itu.
"Malaysia belum mempunyai loji pemprosesan yang mampu memisahkan unsur REE bernilai tinggi secara komersial dan pada masa ini, rantaian nilai global untuk pemprosesan dan pemisahan REE didominasi oleh China dan mereka juga mengawal eksport tekonologi berkaitan," katanya.
Beliau turut merujuk perlombongan di Perak yang menyaksikan syarikat tempatan bekerjasama dengan syarikat China dari segi perlombongan dan mineral itu dibawa ke China untuk tujuan pemprosesan.
"Kerajaan negeri hanya mendapat tribute (penghargaan) dan kita tidak mahu ia berulang," katanya.
Johari menegaskan berkata bahawa kekangan yang dihadapi negara menyukarkan Malaysia membangunkan keseluruhan rantaian nilai dari perlombongan, pemprosesan serta penghasilan produk bernilai tambah.
Pada masa sama, Malaysia turut berdepan isu kekurangan data komprehensif berhubung lokasi, kuantiti dan gred serta status guna tanah sumber REE.
"Anggaran awal REE oleh Jabatan Mineral dan Geosains masih di peringkat sumber teragak dan memerlukan kajian terperinci lanjutan untuk menentukan jumlah sebenar boleh dilombong secara ekonomi dan lestari," katanya.
Kekangan-kekangan dalam membangunkan industri REE ini, kata Johari, menyebabkan kerajaan bertindak menyusun strategi pembangunan industri berkaitan secara berfasa meliputi jangka pendek bagi tempoh 2025 hingga 2027, jangka sederhana 2027 hingga 2030 serta jangka panjang selepas 2030.
"Bagi jangka pendek, dasar moratorium pengeksportan mentah dikekalkan bagi menggalakkan pelaburan dan juga logi penulenan, pemisahan serta penghasilan produk bernilai tambah dalam negara," katanya.
Laporan sebelum ini menyatakan sumber unsur nadir bumi bukan radioaktif (NR-REE) negara terdapat di 10 negeri iaitu Johor, Kedah, Kelantan, Melaka, Negeri Sembilan, Pahang, Perak, Sarawak, Selangor dan Terengganu.
-- BERNAMA