EKONOMI

BNM Gesa PKS Mulakan Pelaporan Karbon Berikutan Rakan Dagang Ketatkan Piawaian

19/11/2025 06:23 PM

KUALA LUMPUR, 19 Nov (Bernama) -- Bank Negara Malaysia (BNM) menggesa perusahaan kecil dan sederhana (PKS) untuk mula mengukur dan melaporkan pelepasan karbon mereka memandangkan pembeli global semakin mengetatkan piawaian kemampanan merentas rantaian bekalan.

Penolong Gabenor BNM Madelena Mohamed berkata perubahan ini sudah pun berlaku di pasaran eksport utama, di mana rakan dagang semakin kerap memerlukan pembekal untuk mengemukakan data asas berkaitan kemampanan.

“Walaupun anda tidak menjual secara langsung kepada mereka, selalunya rakan dagang tempatan anda adalah sebahagian daripada rantaian bekalan yang akhirnya menjual ke pasaran global yang memerlukan pelaporan seperti ini,” katanya pada Persidangan Iklim JC3 Kumpulan Fokus PKS (SFG) 2025 baru-baru ini.

Beliau berkata permintaan terhadap maklumat pelepasan karbon didorong oleh dasar-dasar seperti Peraturan Produk Bebas Penebangan Hutan Kesatuan Eropah (EUDR), Mekanisme Pelarasan Sempadan Karbon (CBAM) dan piawaian pelaporan mandatori Skop 1, 2 dan 3 yang diguna pakai oleh syarikat multinasional.

“Malah di dalam negara sendiri, Belanjawan 2026 telah memperkenalkan cukai karbon yang menyasarkan sektor berintensiti pelepasan tinggi seperti besi, keluli dan tenaga. Walaupun PKS belum dikenakan cukai lagi, pematuhan tetap penting bagi syarikat di seluruh rantaian bekalan,” katanya.

Madelena berkata daya tahan iklim bukan sahaja tentang mengurus risiko fizikal dan peralihan, tetapi juga mengenai peluang yang boleh diwujudkan oleh perubahan berkaitan iklim untuk perniagaan.

“Tindakan iklim telah mewujudkan permintaan baharu seperti yang dapat dilihat dalam Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR) yang merangka laluan Malaysia menuju sifar bersih menjelang 2050 dan menyasarkan untuk menggerakkan pelaburan berjumlah RM1.2 trilion serta menjana lebih 300,000 pekerjaan hijau.

“Peluang seumpama ini tidak terhad kepada syarikat-syarikat besar, kerana PKS yang terlibat dalam pemasangan solar, penyelenggaraan kenderaan elektrik (EV), bahan binaan hijau dan kitar semula sisa akan turut meraih manfaat secara langsung,” kata Madelena.

Beliau juga berkata perniagaan harus membiayai usaha peralihan mereka, sambil menegaskan bahawa membina daya tahan iklim ialah satu pelaburan jangka panjang yang dapat mengurangkan kos operasi, membuka pasaran baharu dan mengukuhkan keyakinan pelanggan untuk pihak yang mengambil tindakan awal.

“BNM memperuntukkan RM3.8 bilion dalam (pembiayaan) bersasar seperti Peralihan Rendah Karbon dan kemudahan Teknologi Tinggi dan Hijau (HTG) untuk membantu PKS mengambil langkah membina daya tahan iklim dan memanfaatkan peluang yang tersedia sepenuhnya,” tambah beliau.

-- BERNAMA

 

 

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2492749